Kesemua empat pesakit disahkan negatif coronavirus – KKM

Kesemua empat pesakit disahkan negatif coronavirus – KKM

KUALA LUMPUR,. Keempat-empat pesakit yang disyaki dijangkiti coronavirus di negara ini disahkan negatif virus itu, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu mengesahkan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) seorang pesakit yang dirawat di wad isolasi di sebuah hospital di Sabah adalah negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata gejala yang dialami oleh pesakit di Sabah itu adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A.

“Dimaklumkan bahawa keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes disyaki itu oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), mengesahkan beliau negatif bagi jangkitan Novel Coronavirus.

“Gejala yang dialami oleh beliau adalah disebabkan oleh jangkitan influenza A. Beliau kini telah beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Keputusan terbaharu itu menjadikan keempat-empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV, masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah yang dilaporkan terdahulu, adalah negatif.

Dalam kenyataan awal sebelum ini, Datuk Dr Noor Hisham berkata kementerian melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan empat kes disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan ujian makmal ke atas sampel tiga daripada empat individu berkenaan didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

Media sebelum ini melaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak coronavirus yang telah mengakibatkan sembilan maut, manakala lebih 400 orang dijangkiti virus itu, setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO juga telah menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, KKM telah bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )