Kesesakan di Pelabuhan Klang berkurangan selepas pelaksanaan langkah segera – LPK

Kesesakan di Pelabuhan Klang berkurangan selepas pelaksanaan langkah segera – LPK

SHAH ALAM,. Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berkata kesesakan yang berlaku di Pelabuhan Klang telah menunjukkan penambahbaikan selepas beberapa langkah serta merta dilaksanakan oleh pasukan petugas yang diarahkan Kementerian Pengangkutan sejak bulan lepas.

Pengerusi LPK Datuk Chong Sin Woon berkata pasukan petugas itu yang diketuai pihak berkuasa seperti Northport, Westports, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan beberapa persatuan logistik ditubuhkan untuk mengenal pasti punca dan langkah segera untuk mempercepatkan aliran kargo dan pergerakan kapal melalui pelabuhan itu.

“Pada Jumaat lepas, MAQIS menyediakan tenaga kerja tambahan untuk membuat pemeriksaan kontena yang mana 100 peratus kontena yang disekat telah diperiksa dan dilepaskan dalam tempoh sehari, peningkatan yang tinggi berbanding 60 peratus sebelum ini.

“Pengambilan kontena kargo sejuk oleh syarikat pengangkutan dan pihak penerima turut mencatatkan penambahbaikan yang ketara dengan hampir 50 peratus penghantaran dalam tempoh 24 jam selepas pas masuk dikeluarkan berbanding 30 peratus sebelum ini.

“Ini menyebabkan penggunaan yad bertambah baik dan susut 95 peratus daripada 100 peratus minggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha bersama dengan syarikat perkapalan telah menyebabkan kapal memuatkan lebih banyak kontena eksport dan pemunggahan yang telah lama berada di pelabuhan itu.

Chong berkata beberapa syarikat turut menyediakan kapal tambahan untuk tujuan itu dan pelabuhan berkenaan telah memberikan keutamaan tempat berlabuh kepada kapal-kapal ini.

“Selain itu, ejen pengangkutan dan pengimport telah meningkatkan usaha untuk mengosongkan kontena import daripada pelabuhan itu dengan lebih awal dan mengelakkan penyimpanan di kawasan pelabuhan.

“Dengan pengosongan bersih sebanyak 20,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena eksport dan pemindahan ke kapal, penggunaan yad telah menyusut daripada 90 peratus kepada 82 peratus, membolehkan terminal itu untuk beroperasi dengan produktiviti yang lebih baik,” katanya.

Katanya, JKDM juga telah menyediakan pegawai tambahan untuk menyegerakan penyelesaian dokumen import dan eksport selain kaunter khas untuk barangan kargo sejuk dan makanan tidak tahan lama.

Pasukan petugas itu turut menambah baik purata tempoh menunggu kapal dengan ketara sejak minggu lepas apabila kapal dapat berlabuh dalam masa 24 jam tiba di tempat berlabuh luar berbanding lima hari pada Disember tahun lepas.

Chong berkata semua pihak akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan keadaan itu dapat diuruskan dengan baik dan prinsipal kargo dan syarikat perkapalan menerima layanan tepat pada masanya dan efisien.

Beliau menjelaskan isu itu berpunca terutamanya daripada faktor luaran, namun LPK dan komuniti logistik akan melaksanakan kesemua langkah yang diperlukan untuk mengurangkan kesulitan pengguna pelabuhan khususnya dengan jangkaan peningkatan barangan menjelang Tahun Baharu Cina pada bulan depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )