Kesiapsiagaan TNB salur bekalan elektrik ketika PKP pada tahap terbaik – Menteri @drshamsulanuar
KUALA LUMPUR, 26 Mac — Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkeyakinan penuh terhadap kesiapsiagaan dan keupayaan TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik di Semenanjung dalam menghadapi waktu mencabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac, 2020.
“Saya telah melihat persiapan yang dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya yakin dengan usaha mereka. Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting dalam memastikan bekalan elektrik stabil dan dapat dinikmati semua.
“Saya juga dimaklumkan bahawa TNB bersiap siaga untuk memastikan bekalan elektrik ke hospital-hospital, sama ada di bandar atau di klinik-klinik kesihatan di luar bandar adalah terjamin,” kata Shamsul Anuar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TNB, hari ini.
Dalam sesi lawatannya ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro (MSRCC) dan National Load Dispatch Centre (NLDC) di ibu pejabat TNB, di Bangsar hari ini, Shamsul Anuar berkata TNB memainkan pernaan penting tatkala negara bertungkus lumus menangani virus COVID-19.
Shamsul Anuar disertai Timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Ir Abdul Rahim Ibrahim.
Semasa lawatan, Shamsul Anuar telah diberi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sejak PKP dikuatkuasakan, TNB mengambil langkah proaktif dengan meletakkan sebanyak 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara. Set janakuasa mudah alih turut digunakan dan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia untuk digunakan sekiranya diperlukan.
Sistem bekalan elektrik ke hospital-hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak virus Covid-19 turut diperkukuhkan, antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.
— BERNAMA