
Ketiadaan Sistem Pengudaraan Jadi Faktor Utama Insiden Maut di Lubang Pembetungan – JKKP Perak
Ipoh, 8 April 2025 – Tiga nyawa terkorban dalam satu insiden di tapak pembinaan resort di Lenggong disebabkan kegagalan menyediakan sistem pengudaraan dalam ruang terkurung, menurut laporan awal siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.
Lubang pembetungan bersaiz 4.04m x 5.20m x 2.4m yang digunakan untuk kerja pembersihan telah ditutup sepenuhnya selepas kerja konkrit disiapkan, menyebabkan tiada aliran udara. Tambahan pula, tiada dokumentasi Prosedur Kerja Selamat (SOP) disediakan bagi operasi dalam ruang terkurung, dan pemaju gagal menyerahkan pemberitahuan projek melalui borang JKKP 12 seperti diwajibkan.
Berikutan insiden ini, JKKP mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta merta dan menyita kawasan terbabit. Arahan turut dikeluarkan agar majikan menjalankan penilaian risiko dan melantik individu kompeten seperti penguji gas bertauliah (AGT) sebelum kerja diteruskan.
Sekiranya terdapat pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, tindakan undang-undang akan diambil termasuk denda maksimum RM500,000.
Insiden berlaku apabila mangsa pertama tidak sedarkan diri sejurus memasuki lubang, disusuli dua lagi pekerja yang cuba membantu namun turut terjejas akibat kekurangan oksigen. Dua maut di lokasi manakala seorang lagi meninggal dunia di pusat kesihatan.