
Ketua biro, dua Jurufoto Bernama raih anugerah Malam Kewartawanan Kelantan
KOTA BHARU,. Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan Zabidi Ishar menerima Anugerah Khas Wartawan Cemerlang pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) 2019/2020 di sini, Isnin malam.
Anugerah anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu pertama kalinya diperkenalkan tahun ini sempena 30 tahun pentadbiran Kerajaan Kelantan membangun bersama Islam.
Zabidi dipilih berdasarkan kredibilitinya sebagai wartawan dan anugerah berkenaan bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di Kelantan iaitu sejak tahun 90-an sebelum ditukarkan ke Johor (2015), Kedah (2016-2018) dan kembali semula ke Kelantan pada 2019 sehingga kini.
Sementara itu, Biro Bernama Kelantan berjaya merangkul anugerah tempat kedua bagi kategori Fotografi Terbaik yang dimenangi jurufoto sambilan, Shahuri Saidi, melalui fotonya bertajuk ‘Orang Asli Kuala Goh’.
Jurufoto Zulkarnain Kamaruddin pula meraih tempat ketiga menerusi gambar ‘Kopitiam Beruk’. Kedua-dua mereka membawa pulang sijil penghargaan, plak dan hadiah wang tunai, masing-masing RM1,000 dan RM700.
Penilaian pemenang setiap kategori diadili lima juri dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Teknologi Multimedia dan Komunikasi Azahar Kassim.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Presiden Kemudi Shahnun Hanif Suhaimi.
Shahnun Hanif ketika berucap berkata selain menghargai tugas pengamal media, acara tahunan ini bertujuan untuk memupuk semangat mereka dalam melaporkan berita yang terbaik pada masa hadapan.
— BERNAMA