ketum dirampas di Kuala Nerang

ketum dirampas di Kuala Nerang

KUALA NERANG,. Polis menahan seorang lelaki dan merampas 1.5 tan metrik daun ketum yang dianggarkan bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Chang Ding, Naka, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu yang bekerja sebagai peniaga ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan polis sebelum ini.

Katanya, pasukan serbuan yang membuat pemeriksaan di sebuah bangsal belakang rumah berkenaan menemui 150 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum dipercayai untuk diedar dan dijual ke Kelantan dan Perlis.

“Tangkapan ini berdasarkan maklumat hasil penahanan beberapa individu lain sebelum ini, suspek juga agak licik dalam kegiatannya yang bertindak sebagai peraih daun ketum sejak tiga tahun lepas.

“Ini kali kedua suspek ditahan dan rampasan ini adalah yang terbesar tahun ini di daerah ini. Soal siasat mendapati suspek mampu menjual sebanyak 1,500 kilogram daun ketum sebulan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mulkiaman berkata, selain dibeli dari penanam ketum di negeri ini, suspek juga memperolehi bekalan dari kebun miliknya sendiri bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketum yang kita rampas ini juga diseludup ke negara jiran atau di pasaran Perlis atau Kelantan sahaja. Suspek membeli daun itu pada harga RM6 sekilogram dan jual semula RM10 sekilogram kepada pembeli di pasaran tempatan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman empat hari bermula kelmarin dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This