
Keuntungan bersih KPJ Healthcare meningkat kepada RM84 juta pada suku keempat
KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd bagi suku tahun keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2019 melonjak kepada RM84.0 juta daripada RM53.32 juta pada suku keempat 2018, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi terutamanya disumbangkan oleh operasi hospital di Malaysia.
Perolehan dalam suku keempat pada 2019 meningkat kepada RM944.0 juta daripada RM876.55 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.
Kumpulan penjagaan kesihatan itu juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham untuk tahun kewangan 2019 dengan dengan lepas tarikh yang ditetapkan pada 30 Mac, 2020 dan akan dibayar pada 20 April 2020.
Bagi tahun kewangan 2019, keuntungan bersih KPJ meningkat kepada RM211.37 juta daripada RM179.44 juta pada tahun kewangan 2018, sementara pendapatan lebih tinggi pada RM3.60 bilion daripada RM3.37 bilion sebelumnya.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata pertumbuhan pesat tahun ke tahun disokong oleh momentum yang kukuh dalam operasi hospital di Malaysia telah menghasilkan prestasi kewangan yang cemerlang.
“KPJ Perdana di Kota Bharu, Kelantan dan KPJ Pasir Gudang di Johor kedua-duanya mencapai pendapatan lebih RM100 juta untuk kali pertama.
“KPJ juga dapat memenuhi matlamatnya untuk membuka tiga hospital baharu pada 2019, iaitu KPJ Bandar Datuk Onn, KPJ Batu Pahat dan KPJ Miri,” katanya.
Melangkah ke hadapan, KPJ berkata pada 2020, kumpulan itu juga akan memindahkan beberapa hospital dari tempat asalnya secara strategik setelah mencapai kapasiti tahap maksimum ke bangunan hospital baharu dengan kapasiti yang lebih besar, iaitu Hospital Pakar KPJ Kuching dan Hospital Pakar KPJ Kluang.
“Selain daripada operasi di Malaysia yang kukuh, hospitalnya di Indonesia, Rumah Sakit Medika Bumi Serpong Damai di Jakarta dapat mengembangkan perniagaannya, terutamanya menerusi pemasaran agresif yang menawarkan pakej inovatif serta penambahan lebih banyak katil pesakit,” katanya.
Kenyataan itu berkata kumpulan itu juga kemungkinanan akan meneroka pengembangan ke pasaran baharu seperti Vietnam, China dan Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada usaha besarnya dalam pelancongan perubatan di Malaysia.
— BERNAMA