Keuntungan bersih Nestle merosot kepada RM186.31 juta pada suku pertama
KUALA LUMPUR, 5 Mei — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd merosot kepada RM186.31 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2020 daripada RM235.22 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan untuk suku itu turun kepada RM1.43 bilion berbanding RM1.45 bilion sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan penjualan domestik sebanyak 3.4 peratus, yang diatasi oleh pertumbuhan penjualan eksport yang kukuh sebanyak 8.8 peratus.
Kesan terhadap penjualan domestik sebahagiannya kerana jangkaan sambutan Tahun Baru Cina yang lebih awal dan kesan daripada COVID-19 terhadap perniagaan berikutan penutupan restoran, kedai kopi dan kebanyakan kedai makanan yang lain.
“Perniagaan utama makanan dan minuman tetap stabil bagi tempoh ini,” kata Nestle dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. Nestle akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM280 juta tahun ini, capex tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Capex ini akan menambah keupayaan pengeluaran baharru, termasuk pengembangan kapasiti penting untuk kilang mi Maggi, dan barisan pengeluaran terbaru di Shah Alam, Selangor, sebagai persediaan untuk memasuki kategori pertumbuhan tinggi baharu dengan potensi masa depan yang besar.
“Walaupun sukar untuk menjangkakan sejauh mana perubahan akan berlaku akibat krisis ini (COVID-19), kami akan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini dan memanfaatkan kaedah baharu untuk pertumbuhan pada tahun 2020. Kami memanfaatkan peluang pertumbuhan di semua saluran, termasuk mempercepatkan urusniaga e-dagang, ”katanya.
“Kami akan meneruskan usaha inovasi kami dan syarikat mempunyai rangkaian produk baharu yang mantap yang akan tersedia pada separuh kedua tahun ini. Kami tetap komited untuk memberikan satu tahun lagi hasil pendapatan yang kukuh dan berdaya tahan dalam persekitaran ketidaktentuan dan cabaran luaran,” katanya.
— BERNAMA