Keuntungan bersih suku kedua Astro meningkat 920 peratus

Keuntungan bersih suku kedua Astro meningkat 920 peratus

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) melonjak 920 peratus kepada RM169.34 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2019, berbanding RM16.58 juta dicatat pada tempoh yang sama tahun lepas.

Keputusan positif ini disokong oleh langkah-langkah disiplin kos, televisyen satelit dan pengendali radio, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM1.24 bilion daripada RM1.42 bilion sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam hasil langganan dan pendapatan pelesenan.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata: “Dalam landskap media yang berdaya saing, Astro terus kekal menghasilkan penjanaan tunai yang tinggi, melaksanakan kos berdisiplin dan proaktif dalam pengurusan modalnya. Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2 sen sesaham.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Henry Tan berkata Astro terus mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang kukuh, dengan disiplin kos yang ketat untuk mengoptimumkan perbelanjaan kandungan dan perbelanjaan operasi.

“Pada masa yang sama, kami meneroka hasil baharu, terutamanya dalam jalur lebar dan gabungan kandungan dengan Maxis dan perkhidmatan Over the Top (OTT) melalui perkongsian strategik kami dengan platform penstriman video China, iQIYI dan HBO Asia, dengan lebih banyak perkongsian pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

Astro akan terus menghiburkan dan berinteraksi dengan 5.7 juta atau 76 peratus isi rumah TV Malaysia dengan kandungan vernakular dan premiumnya serta program sukan secara langsung terbesar di platform Pay-TV dan NJOI.

Walaupun jumlah perbelanjaan pengiklanan (Adex) Astro pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2020, menurun sebanyak 3 peratus kepada RM302 juta, namun ia mengatasi perbelanjaan pengiklanan industri yang mencatatkan penurunan 5 peratus.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata pasaran kekal mencabar dengan perubahan struktur dalam kandungan global, media dan industri pengiklanan, termasuk ancaman cetak rompak.

“Tumpuan Astro adalah untuk mengukuhkan perniagaan terasnya, Pay-TV dan NJOI, dengan meneliti semula pelan nilai pelanggan, memperbaiki khidmat pelanggan dan kandungan baharu. Syarikat itu akan memanfaatkan jumlah pelanggannya untuk membina persekitaran pendapatan baru dalam jalur lebar, OTT, digital dan perdagangan. Usaha pengoptimuman akan diteruskan,” kata syarikat itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )