Keuntungan bersih suku pertama Petronas Dagangan melonjak kepada RM293.5 juta

Keuntungan bersih suku pertama Petronas Dagangan melonjak kepada RM293.5 juta

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd melonjak kepada RM293.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, daripada RM226.04 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun, berkurangan kepada RM9.09 bilion daripada RM9.39 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penurunan volum jualan sebanyak dua peratus dan purata harga jualan yang lebih rendah sebanyak satu peratus, kata syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil segmen runcit menyusut sebanyak RM335.1 juta atau tujuh peratus ekoran pengurangan volum jualan sebanyak 11 peratus terutamanya daripada diesel berikutan purata harga jualan tinggi sebanyak lima peratus.

Petronas Dagangan berkata syarikat itu merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM409.2 juta bagi Suku Pertama 2025, lebih tinggi berbanding Suku Pertama 2024 dan Suku Keempat 2024 masing-masing sebanyak 25 peratus dan 13 peratus, disumbang terutamanya daripada perbelanjaan lebih rendah dalam semua segmen, serta peningkatan kecil keuntungan kasar.

“Prestasi ini disokong lagi oleh aliran harga yang menggalakkan bagi segmen komersial”, katanya.

Menerusi satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Azrul Osman Rani berkata keputusan suku tersebut mencerminkan kekuatan asas kumpulan dan hala tuju syarikat yang jelas.

“Kami terus berdisiplin dalam melaksanakan strategi kami untuk menyampaikan nilai, mengekalkan keuntungan dan memberi sokongan kepada pelanggan kami yang terus menyokong usaha kami.

“Ketika kami meningkatkan lagi libat urus bersama pelanggan dan kelebihan operasi kami, kami akan terus memanfaatkan prestasi hari ini sambil mengukuhkan ketangkasan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran pada masa depan,” katanya.

Melangkah kehadapan, Petronas Dagangan berkata ia akan terus berwaspada terhadap potensi tekanan inflasi dan peralihan tidak langsung pasaran.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi Suku Pertama 2025, yang akan dibayar pada 21 Jun 2025.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This