Keuntungan bersih Tune Protect turun kepada RM2.5 juta
KUALA LUMPUR,. Tune Protect Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM2.50 juta untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2020 berbanding dengan RM18.34 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan susut kepada RM122.36 juta pada suku pertama 2020 daripada RM126.66 juta pada suku pertama 2019.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata keuntungan yang lebih rendah adalah disebabkan kemerosotan perniagaan perjalanan udara, keuntungan pengunderaitan yang lebih rendah, dan kerugian pelaburan yang tidak direalisasikan disebabkan kerana yang lemah dalam pasaran pendapatan tetap.
Penurunan premium bertulis kasar adalah sebahagiannya disebabkan oleh kemerosotan dalam perniagaan perjalanan udaranya yang direkodkan oleh Tune Protect Re, cabang penginsurans semula kumpulan itu, sejajar dengan pengurangan permintaan dalam perjalanan udara, dan kemerosoatan dalam perniagaan insurans yang dicatatkan oleh Tune Protect Malaysia, anak syarikat insurans am di Malaysia kumpulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect Khoo Ai Lin berkata wabak COVID-19 telah menjejaskan banyak perniagaan dan industri di seluruh dunia, dan Tune Protect juga turut terjejas.
“Bagaimanapun, kumpulan ini tetap berdaya tahan dengan kedudukan modal yang kukuh dan kecairan yang mencukupi untuk mengatasi ketidaktentuan pada masa depaan,” katanya.
— BERNAMA