Keuntungan sebelum cukai separuh pertama 2021 bank-bank bertambah baik

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai sistem perbankan domestik meningkat sedikit kepada 16.7 peratus tahun ke tahun semasa tempoh separuh pertama 2021 daripada 14.8 peratus pada tempoh yang sama pada 2020, menyebabkan pulangan aset dan ekuiti menjadi lebih tinggi, masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan dan 9.7 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, penilaian pasaran bank tersenarai kekal tidak menentu dan terus mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati berikutan prospek pendapatan masa depan yang lebih lemah disebabkan oleh pemulihan ekonomi yang tertangguh.

“Bank-bank dijangka terus memperkukuh peruntukan pada separuh kedua 2021 memandangkan tekanan yang dihadapi semula oleh sesetengah peminjam.

“Namun demikian, peningkatan peruntukan dijangka berkurang disebabkan oleh pemberian semula bantuan bayaran balik pinjaman yang lebih bersasar seiring dengan peningkatan keupayaan bank-bank untuk membezakan keupayaan bayaran balik peminjam apabila langkah-langkah bantuan bayaran balik pinjaman yang menyeluruh ditamatkan secara beransur-ansur,” kata BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Bank pusat berkata pertumbuhan pinjaman juga dijangka meningkat memandangkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan selaras dengan kemajuan program pemberian vaksin dalam negeri. Peningkatan ini akan memberikan sokongan selanjutnya kepada perolehan.

Kebanyakan operasi luar negeri kumpulan perbankan domestik (DBG) mencatatkan peningkatan keuntungan disebabkan terutamanya oleh peruntukan lebih rendah yang disediakan pada tahun ini berbanding pada 2020.

Khususnya, operasi di Singapura, yang merupakan operasi paling ketara mencatatkan peningkatan semula yang kukuh selaras dengan pemulihan kegiatan ekonomi susulan jangkitan COVID-19 yang telah dapat dibendung secara berkesan.

Perolehan daripada operasi di Indonesia dan Thailand juga menunjukkan peningkatan disebabkan oleh penambahan peruntukan pinjaman terjejas yang sedikit.

Bagaimanapun, prestasi keseluruhan operasi luar negeri terjejas oleh operasi di Hong Kong SAR disebabkan terutamanya oleh peruntukan yang lebih tinggi berikutan pertimbangan pengurusan tambahan yang diperuntukkan kepada peminjam yang mempunyai risiko kredit yang tinggi.

Menurut BNM, Langkah-langkah bantuan yang dilaksanakan sepanjang separuh pertama tahun 2021 terus menyokong kualiti aset operasi luar negeri DBG yang secara keseluruhan kekal stabil.

Dedahan luar negeri kepada sektor yang terjejas akibat pandemik secara langsung dan tidak langsung juga secara relatif kecil, iaitu antara 0.02 peratus dan 7.2 peratus daripada pinjaman kasar DBG individu.

“Selanjutnya, risiko mudah tunai dan pendanaan di negara-negara utama kekal terurus memandangkan sebahagian besar aktivitinya dibiayai oleh deposit pelanggan.

“Pada tempoh ini, kebanyakan operasi luar negeri DBG menunjukkan peningkatan deposit jangka pendek berikutan langkah-langkah bantuan yang dilaksanakan di setiap negara.

“Penampan modal yang dipegang oleh operasi luar negeri tetap kukuh dan dijangka dapat mengurangkan keperluan sebarang rekursa untuk sokongan induk,” katanya.

Meskipun penularan semula kes COVID-19 di beberapa negara terus memberikan kesan kepada prospek risiko kredit, ujian tekanan yang dilakukan oleh BNM terhadap operasi luar negeri mengesahkan bahawa semua subsidiari asing utama DBG dijangka mempunyai penampan modal yang mencukupi untuk menghadapi potensi kejutan di bawah senario tekanan yang amat teruk, tanpa sokongan tambahan daripada DBG induk masing-masing.

NILAI RINGGIT YANG LEMAH TINGKATKAN LAGI HUTANG LUAR NEGERI

Bank pusat berkata hutang luar negeri sistem perbankan meningkat sedikit pada separuh pertama tahun 2021 kepada RM341.4 bilion daripada RM337.2 bilion yang dicatatkan pada Disember 2020 berikutan nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dengan mata wang asing.

Peminjaman antara bank yang lebih tinggi oleh segelintir kumpulan perbankan domestik sebagai sebahagian daripada operasi pengurusan mudah tunai berpusat mereka turut menyumbang kepada peningkatan hutang luar negeri agregat bank-bank.

“Trend ini beralih arah pada suku kedua tahun 2021 dengan jumlah hutang luar negeri bank-bank sebagai bahagian daripada jumlah pendanaan kekal rendah dan sejajar dengan purata sebanyak 7.7 peratus yang pernah dicatatkan sebelum ini.

“Peningkatan perolehan daripada operasi domestik dan luar negeri telah membolehkan bank-bank mengekalkan penampan modal yang kukuh,” katanya.

BNM berkata ini membolehkan sesetengah bank berhati-hati menyambung pembayaran dividen yang sebelumnya dihentikan atau dikurangkan bagi mengekalkan modal, walaupun beberapa bank telah meneruskan program pelaburan semula dividen untuk melindungi penampan modal mereka memandangkan ketidakpastian tentang prospek ekonomi.

Bank-bank terus mengekalkan kedudukan modal yang kukuh, dengan lebihan penampan modal melebihi keperluan minimum yang kekal tinggi.

Melangkah ke hadapan, keadaan pendanaan keseluruhan dijangka terus menyokong aktiviti pengantaraan.

Bagaimanapun, sesetengah bank mungkin mengalami peningkatan pengeluaran deposit oleh individu dan syarikat yang lebih teruk terjejas disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Penuh.

Pemberian bantuan bayaran balik menerusi pakej PEMULIH yang meningkat dengan ketara, di samping pengeluaran oleh syarikat awam bukan bank untuk menyokong langkah-langkah bantuan tambahan juga boleh meningkatkan tekanan mudah tunai bagi bank-bank tertentu.

“Namun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kedudukan mudah tunai bank-bank dijangka kekal berdaya tahan terhadap tekanan sedemikian,” kata bank pusat sambil menambah ketersediaan fleksibiliti Keperluan Rizab Berkanun (SRR) hingga akhir 2022 akan terus menyokong keupayaan bank-bank untuk menangani potensi tekanan mudah tunai.

MENILAI DAYA TAHAN INSTITUSI KEWANGAN

Ujian tekanan menggunakan pendekatan dari atas ke bawah yang dijalankan pada awal tahun ini terus mengambil kira pelbagai kejutan ekonomi dan kewangan yang teruk serta memadai untuk menguji daya tahan institusi kewangan.

Pandangan ini sebahagiannya mencerminkan tahap konservatif yang ketara dalam membuat andaian berhubung dengan bayaran balik pinjaman yang telah diterapkan dalam ujian tekanan apabila kejutan tersebut digunakan sebagai input untuk menilai potensi kerugian institusi kewangan.

Ujian tekanan merupakan komponen penting dalam rangka kerja kestabilan kewangan BNM.

Oleh itu, kemas kini terhadap ujian tekanan berbilang tahun yang menggunakan pendekatan dari atas ke bawah akan diterbitkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan BNM bagi Separuh Kedua 2021, sejajar dengan kitaran ujian tekanan tahunan yang lalu, kata bank pusat.

“Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penilaian penyeliaan Bank yang berterusan, setiap bank dikehendaki menghantar hasil ujian tekanan mereka berdasarkan senario tekanan hipotetikal keadaan pemulihan ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan, hingga akhir tahun 2022,” kata BNM.

Ia berkata senario tersebut mengandaikan bahawa ekonomi dalam negeri akan pulih secara beransur-ansur dan pemulihan dijangka hanya berlaku menjelang separuh kedua 2022 dan pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik akan terus meningkat pada 2021 sebelum berkurangan pada akhir 2022 sejajar dengan andaian pemulihan ekonomi.

Risiko kredit kekal sebagai pendorong utama potensi kerugian yang akan ditanggung oleh bank-bank, dengan kedua-dua ujian tekanan yang menggunakan pendekatan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas menunjukkan sektor perniagaan menyumbang kepada bahagian kerugian yang lebih besar.

“Secara keseluruhan, di bawah ujian tekanan yang menggunakan pendekatan dari bawah ke atas, penurunan median nisbah jumlah modal pada akhir 2022 ialah 4.4 mata peratusan, dengan julat antara kuartil 27 sebanyak 5.9 mata peratusan (kuartil pertama: 2.1 mata peratusan, kuartil ketiga: 8 mata peratusan),” kata BNM.

– BERNAMA /Dino

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )