Kewajaran menghidupkan semula ekonomi

Kewajaran menghidupkan semula ekonomi

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 3 Mei — COVID-19, sejenis patogen yang ‘ghaib’ daripada pandangan namun terbukti mampu menjejaskan ekonomi termasuk menjadi punca kemelesetan global manakala berjuta-juta kerja pula berpotensi untuk lenyap.

Sebelum tahun ini, perkataan COVID-19 tidak wujud pun dalam kamus. Ironinya, pada hari ini tiada seorang pun yang dapat mengelak daripada menyebut atau berbincang mengenainya, sepantas penularan virus itu di segenap pelusuk dunia dengan turut mengundang masalah ekonomi serius termasuk di Malaysia.

Sempadan ditutup manakala perjalanan ke luar negara dilarang ketika orang ramai berkurung dalam kediaman masing-masing demi memastikan lengkungan penularan COVID-19 itu dapat dilandaikan, sekali gus membendung penyebarannya di peringkat global.

Penyusutan ketara aktiviti perjalanan itu turut menjejaskan permintaan terhadap minyak.

Malah, penggunaannya yang rendah telah menyebabkan perolehan hasil cukai yang boleh menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan.

Ketidaktentuan Harga Minyak

Kejatuhan harga minyak dicetuskan oleh kekurangan permintaan yang mendadak sejak awal tahun susulan tindakan China menutup ekonominya selain pertikaian berterusan perang harga minyak antara Arab Saudi dan Rusia yang akhirnya merencatkan permintaan global terhadap bahan api itu.

Berikutan penyusutan permintaan dan harga minyak yang menjunam dua minggu lepas apabila niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mencecah harga di paras negatif, kapal-kapal tangki minyak tersadai tanpa haluan apabila tempat simpanan minyak dilaporkan penuh.

Korea Selatan yang merupakan hab simpanan komersial keempat terbesar di Asia, sudah ketiadaan ruang untuk simpanan baharu.

Malaysia yang merupakan negara pengeluar minyak, turut menetapkan harga minyak mengikut penanda aras global iaitu minyak mentah Brent yang sebaliknya menjunam ke paras US$15 setong sejak seminggu lepas – terendah sejak 2002.

Menurut Kementerian Kewangan, Malaysia bergantung kepada minyak yang menyumbang 20.7 peratus kepada jumlah pendapatannya pada tahun ini.

Mengikut nota penyelidikan Maybank, setiap penyusutan US$10 setong akan mengurangkan pendapatan fiskal sebanyak RM7 bilion dan meningkatkan defisit belanjawan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 mata asas.

Kira-kira dua minggu lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa kerajaan telah mengambil kira impak harga minyak yang rendah dalam anggaran defisit belanjawan pada 4.7 peratus bagi 2020 dan semalam beliau berkata angka itu berkemungkinan besar akan mencecah lima peratus akibat harga semasa.

Dalam tempoh hanya empat bulan, harga minyak telah menjunam daripada US$66 setong pada akhir tahun lapas kepada sekitar US$22 minggu ini di tengah-tengah dagangannya yang terus tidak menentu.

Di bursa tempatan, penyusutan harga minyak telah memberi tekanan hebat kepada indeks, terutamanya yang berkaitan langsung dengan industri minyak dan gas.

Kaunter tenaga terus susut hampir 15 peratus dalam tempoh dua minggu sebelum meningkat sedikit pada Rabu susulan sentimen positif sewaktu pasaran dibuka.

Impak COVID-19 Terhadap Kutipan Cukai

Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah drastik bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas bagi menangani kadar jangkitan COVID-19 di negara ini yang pastinya memberi kesan kepada ekonomi domestik.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dengan angka kerugian setakat ini dianggarkan melebihi RM60 bilion.

Cukai tidak dapat dikutip, perniagaan berdepan kemungkinan ditutup dan rakyat yang kehilangan kerja tidak lagi dapat membayar cukai masing-masing.

Oleh kerana Malaysia menggunakan model cukai jualan dan perkhidmatan, sebarang kekurangan perbelanjaan pengguna akan hanya menjurus kepada pengurangan jumlah kutipan cukai.

Mengikut kajian oleh Jabatan Perangkaan, aktiviti perbelanjaan telah susut secara ketara sepanjang tempoh PKP dengan golongan mewah T20 merosot sebanyak 59 peratus, golongan berpendapatan pertengahan M40 sebanyak 48 peratus manakala kalangan B40 sebanyak 41 peratus.

Menurut seorang penganalisis, tempoh PKP melebihi 40 hari itu telah menyaksikan kutipan cukai secara menyeluruh merosot hampir 75 peratus, terutamanya apabila sektor perkhidmatan seperti hotel dan pelancongan tidak mencatatkan sebarang pendapatan.

Ini hanya memburukkan lagi keadaan kerana sebelum bermulanya PKP, industri itu berdepan penyusutan ketara akibat kemerosotan jumlah pelancong China susulan  penularan COVID-19.

Data Tourism Malaysia menunjukkan tempoh separuh pertama 2019 menyaksikan sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM42 bilion kepada pendapatan negara. Apa yang pasti, angka itu sukar diraih bagi tempoh sama tahun ini.

Tekanan Ke Atas Kedudukan Fiskal Kerajaan

Susulan aktiviti ekonomi yang terhad serta peningkatan perbelanjaan akibat krisis kesihatan global, kerajaan berdepan tiga kali ganda kesukaran dalam menguruskan ekonomi.

Ekoran penyusutan harga minyak mentah ditambah dengan kemelesetan, apa yang diharungi hari ini adalah lebih buruk berbanding keadaan ketika krisis ekonomi dunia pada 1997 dan 2008.

Ketika itu hanya harga minyak mentah yang mengalami tekanan dan tiada sebarang pandemik kesihatan tercetus.

Bank Negara Malaysia dalam pada itu telah menjangkakan KDNK 2020 mengalami penguncupan.

Pekerjaan dalam sektor tertentu pula terus tergantung, khususnya pelancongan kerana tidak dapat menyambung semula aktivitinya untuk beberapa tempoh lagi.

Pengangguran mungkin meningkat kepada empat peratus tahun ini yang sudah pastinya kali ini menjadi tempoh mencabar buat tenaga kerja serta kerajaan.

Memandangkan kerajaan mula membenarkan sektor tertentu serta perniagaan beroperasi semula seperti sedia kala, ini akan menggerakkan kembali berjuta-juta pekerjaan dengan berlandaskan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan untuk memastikan kes positif COVID-19 tidak kembali melonjak.

Langkah itu, yang dilihat sebagai tindakan awal untuk memulakan kembali ekonomi selepas hampir satu setengah bulan ditutup, akan meletakkan kembali pekerjaan ke dalam pasaran manakala rakyat meraih semula pendapatan, yang akan meningkat perbelanjaan domestik dan mempertahankan ekonomi tempatan.

Kebimbangan berkaitan COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan virus itu dijangka wujud bagi tempoh yang lama dan setakat hari ini, persaingan untuk mencari penawarnya masih diteruskan.

Apa yang pasti, kebimbangan tetap ada walaupun aktiviti ekonomi itu disambung semula dan sehubungan itu, sebagai warga yang bertanggungjawab, setiap orang perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan seperti yang dinasihatkan berulang kali.

Hindarilah kawasan sesak, berada di rumah jika tiada keperluan mendesak, bekerja dari rumah jika boleh, cuci tangan dengan kerap serta dapatkan bantuan perubatan jika sakit.

Hakikatnya, usaha memerangi virus ini bukan hanya menjadi tanggung jawab kerajaan atau petugas barisan hadapan kesihatan sahaja, malah seluruh rakyat di semua peringkat masyarakat seharusnya bersama-sama berganding bahu dalam usaha ini.

Sebarang sikap tidak peduli pada peringkat ini bukan sekadar boleh meragut nyawa sendiri tetapi turut membahayakan mereka di sekeliling.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )