Key Alliance dilantik sebagai wakil tempatan bagi kit ujian COVID-19 RT PCR Care Gene

Key Alliance dilantik sebagai wakil tempatan bagi kit ujian COVID-19 RT PCR Care Gene

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Unit Key Alliance Group Bhd, Key Alliance Sdn Bhd diberikan surat kuasa wakil dan dilantik sebagai wakil tempatan bagi ITDF Co., Ltd, Korea Selatan untuk melaksanakan pendaftaran, promosi, pemasaran dan jualan, serta pengedaran bagi Kit Ujian COVID-19 RT PCR Care Gene oleh Well Bio Inc.

Pengarah Urusan Kumpulan, Roy Ho Yew Kee berkata unitnya kini boleh bekerjasama dengan pengawal selia dan pihak berkuasa berkaitan Malaysia untuk mendaftarkan kit itu bagi mengimport, pemasaran dan jualan serta pengedaran di peringkat tempatan.

“Berdasarkan situasi semasa COVID-19 yang berpotensi mewujudkan gelombang kedua di peringkat dunia, keperluan terhadap pengujian dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

“Walapun kerajaan giat berusaha menyediakan kemudahan pengujian dan sumber yang mencukupi untuk rakyat, sumbangan sektor swasta juga perlu meningkat, jika ekonomi kembali normal secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi pemeteraian pengaturan itu, Key Alliance boleh menawarkan pendekatan menyeluruh untuk mobilisasi dan kesinambungan perniagaan dalam persekitaran normal baharu semasa.

Ia merancang untuk segera melaksanakan pendaftaran kit ujian bagi mengimport dan pengedaran susulan permintaan terhadap kit ujian PCR mungkin melonjak sekiranya gelombang kedua COVID-19 melanda.

Key Alliance berkata peluang ini membolehkannya menilai secara langsung daya maju komersial bagi mempelbagaikan perniagaan teknologi arus perdananya kepada penjagaan kesihatan digital, menerusi perdagangan peralatan diagnostik, platform perubatan digital, pengesan IoT yang memiliki kualiti hospital serta pengumpulan data raya sebagai satu peralihan lancar daripada tumpuan semasa syarikat.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )