KFA umum barisan jurulatih, pemain 15 Jan depan

KFA umum barisan jurulatih, pemain 15 Jan depan

ALOR SETAR,. Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengumumkan barisan jurulatih dan pemain pasukan Hijau Kuning bagi musim depan dalam satu majlis rasmi pada 15 Jan ini.

“Saya diberitahu pasukan Kedah musim depan lebih mantap daripada pasukan pada 2020. Matlamat kita ialah menyusun pasukan terkuat untuk Liga Malaysia (Liga-M) 2021,” kata Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, berkata dalam menyusun strategi untuk memantapkan pasukan, pihaknya akan memastikan pembiayaan untuk seluruh pasukan pada musim akan datang lebih kecil berbanding kos sebelum ini sebanyak RM30 juta.

Difahamkan perkhidmatan ketua jurulatih pasukan itu dari Singapura, Aidil Sharin Sahak yang kontraknya tamat November lepas, akan disambung untuk tempoh setahun lagi dan majlis menandatangani perjanjian akan diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengumumkan Ku Basri Ku Halim dari Pendang sebagai pemenang mereka cipta logo Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan menerima hadiah wang tunai RM5,000 sumbangan Darul Murtadha Sungai Petani.

Menurut beliau, logo baharu yang akan digunakan dalam saingan Liga-M musim depan itu dipilih daripada 900 penyertaan.

Sementara itu, Ku Basri, 30, berkata sebagai penyokong tegar pasukan bola sepak Kedah, dia sangat berbangga kerana dapat menyumbang sesuatu untuk pasukan kesayangannya.

“Sebut pasal idea, sebenarnya logo ini kredit seluruhnya untuk ‘Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah’ Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, yang mana saya dengan dibantu rakan hanya menambah baik di beberapa sisi logo untuk menjadikan lebih kemas dan menarik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)