Khazanah sumbang RM20 juta bantu usaha tangani COVID-19

Khazanah sumbang RM20 juta bantu usaha tangani COVID-19

KUALA LUMPUR,. Khazanah Nasional Bhd menyumbang RM20 juta untuk membantu usaha melawan penularan wabak COVID-19.

Khazanah berkata sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) (GDRN) yang kini sedang menyelaraskan usaha bantuan GLC dan GLIC kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kumpulan lain yang mempunyai keperluan mendesak.

“Khazanah amat menghargai inisiatif gigih kerajaan, GDRN dan semua pihak yang terlibat dalam usaha melawan COVID-19, terutamanya dedikasi dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka yang berada di barisan hadapan,” kata Pengarah Urusan Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai sebuah organisasi dan kakitangan individu, Khazanah bersyukur kerana dapat turut menyumbang kepada usaha menangani wabak tersebut.

“Sebahagian besar daripada kakitangan kami telah menyumbang sebahagian daripada gaji bulanan mereka untuk membantu usaha ini dan saya terus menggalakkan orang ramai untuk turut serta menyumbang sekiranya mampu berbuat demikian,” katanya.

GDRN diuruskan oleh sekretariat bersama yang diketuai oleh Yayasan Hasanah (sebuah yayasan milik Khazanah) dan Telekom Malaysia Berhad.

Setakat ini, GLIC, GLC dan syarikat swasta lain telah menyumbang RM51.5 juta menerusi GDRN. Jumlah tersebut tidak termasuk sumbangan RM20 juta daripada Khazanah.

Daripada RM51.5 juta itu, sebanyak RM42.6 juta telah diperuntukkan untuk pembelian bekalan perubatan bagi KKM manakala RM8.9 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai bantuan kemanusiaan serta bantuan lain yang berkaitan.

Kakitangan Khazanah turut menyumbang secara peribadi menerusi inisiatif kutipan derma bagi menyokong usaha bantuan tindakan COVID-19 yang dijalankan oleh MERCY Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Sumbangan kakitangan Khazanah dibuat menerusi potongan gaji secara sukarela serta sumbangan kakitangan secara langsung kepada kedua-dua entiti berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )