Khianati Surat Taat Setia, Adun Sindumin Berhadapan Tindakan Mahkamah

Khianati Surat Taat Setia, Adun Sindumin Berhadapan Tindakan Mahkamah

KOTA KINABALU: Perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob keluar parti bagi menjadi ADUN Bebas sekaligus menunjukkan tindakan itu bertentangan dengan surat taat setia yang ditandatangani semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam surat taat setia yang ditandatangai wakil rakyat Warisan semasa PRN Sabah jelas menyatakan semua wakil rakyat Warisan perlu meletak jawatan sebagai ADUN sekiranya mereka bertindak keluar parti.

Ini bermakna kerusi DUN Sindumin perlu dikosongkan apabila Yusof memutuskan untuk keluar daripada parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mana-mana wakil rakyat Warisan yang keluar daripada parti akan dikenakan tindakan undang-undang dan diheret ke mahkamah.

“Kita masih menyimpan surat dan video semasa ADUN Sindumin tandatangan surat taat setia itu ia akan digunakan untuk tindakan susulan.

“Sebelum ini, dia (Yusof) tidak pernah maklumkan kepada saya ingin keluar parti. Semalam, apabila saya kembali dari Kuala Lumpur dan nampak laporan berita kemudian bertanya kepadanya baru dia menyatakan dia keluar parti.

“Namun setakat ini, saya belum nampak surat peletakan jawatan yang menyatakan dia keluar daripada parti. Tetapi, saya akan mengarahkan Setiausaha Agung untuk memecatnya secara automatik mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Mohd Shafie turut menafikan beliau memberi keizinan kepada Yusof untuk keluar daripada parti kerana tiada mana-mana presiden parti memberi keredaan jika ada wakil rakyat mereka keluar parti.

Beliau turut menyifatkan keputusan yang diambil oleh ADUN Sindumin itu lebih bersifat peribadi dan di pihak parti sudah memberi banyak peluang kepadanya sebagai Ketua Penerangan parti dan menjadi Menteri Pelajaran dan Inovasi semasa Warisan Plus memerintah Sabah.

Sebelum ini, tindakan mahkamah turut diambil terhadap ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg Amir kerana keluar daripada Warisan pada 23 Februari lalu.

Hampir semua ADUN Warisan hadir dalam sidang media itu bagi memberi sokongan terhadap kepimpinan Mohd Shafie. Dua ADUN lain iaitu ADUN Sekong, Alias Sani dan ADUN Moyog, Datuk Darell Leiking berada di kawasan dan juga menghadiri sidang Parlimen.

-ARK

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )