Khidmat negara wajib untuk remaja 18 tahun di UK, janji Sunak

Khidmat negara wajib untuk remaja 18 tahun di UK, janji Sunak

LONDON,. Remaja berusia 18 tahun akan diwajibkan menjalani khidmat negara sekiranya Parti Konservatif (Tories) memenangi pilihan raya pada 4 Julai ini, kata Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri berkata Britain mempunyai “generasi muda yang tidak mendapat peluang yang mereka berhak dapatkan” sambil mendakwa bahawa langkah radikal ini akan membantu menyatukan masyarakat dalam “dunia yang semakin tidak menentu”.

Pada masa hadapan, remaja berusia 18 tahun akan diberi pilihan antara penempatan sepenuh masa dalam angkatan tentera selama 12 bulan atau meluangkan satu hujung minggu setiap sebulan selama setahun untuk melakukan kerja suka rela dalam komuniti mereka, kata Parti Konservatif.

Menurut Parti Konservatif kerja suka rela itu termasuk membantu dalam Perkhidmatan Kesihatan Nasional, perkhidmatan bomba dan polis, selain daripada bidang kebajikan seperti menangani kesunyian dan membantu golongan tua yang terasing.

Sunak berusaha untuk membezakan dirinya dengan Parti Buruh mengenai keselamatan global setelah beliau berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Sunak juga berkata pengundi akan dibiarkan “berisiko” dengan Pemimpin Parti Buruh Keir Starmer di No. 10 kerana musuh Britain akan menyedari bahawa beliau “tidak mempunyai rancangan”.

Remaja yang memilih untuk menyertai penempatan dalam angkatan tentera akan “belajar dan terlibat dalam logistik, keselamatan siber, perolehan atau operasi tindak balas awam”, kata Parti Konservatif.

Parti itu juga akan menubuhkan suruhanjaya diraja yang membawa masuk kepakaran daripada seluruh angkatan tentera dan masyarakat awam untuk merancang apa yang mereka sebut sebagai program khidmat negara yang “berani”.

Parti Konservatif berkata ia akan berusaha ke arah pelaksanaan perintis pertama yang dibuka untuk permohonan pada September 2025, selepas itu ia akan memperkenalkan “Akta Khidmat Negara” baharu untuk menjadikan langkah berkenaan diwajibkan menjelang akhir Parlimen yang seterusnya.

Perdana Menteri berkata: “Ini adalah negara yang hebat tetapi generasi muda tidak mendapat peluang atau pengalaman yang mereka berhak dapatkan dan ada kuasa yang cuba memecahbelahkan masyarakat kita dalam dunia yang semakin tidak menentu ini.

Saya mempunyai rancangan yang jelas untuk menangani ini dan menjamin masa depan kita. Saya akan membawa model khidmat negara baharu untuk mewujudkan rasa terdapat tujuan bersama dalam kalangan orang muda dan rasa bangga yang baharu dalam negara kita.

“Khidmat negara wajib yang baharu ini akan memberikan peluang yang mengubah hidup kepada orang muda kita, menawarkan mereka peluang untuk mempelajari kemahiran dunia sebenar, melakukan perkara baharu dan menyumbang kepada komuniti dan negara kita.”

Terdahulu pada Sabtu, Sunak mencadangkan bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Starmer akan ditandai dengan ketidakpastian dan dunia yang “lebih berbahaya”.

“Akibat ketidakpastian adalah jelas. Tiada rancangan bermakna dunia yang lebih berbahaya. Anda, keluarga anda dan negara kita semua berisiko jika Parti Buruh menang,” `dakwanya.

Parti Starmer menyifatkan pengumuman itu sebagai “komitmen terdesak tanpa pembiayaan” dan menunjukkan bahawa David Cameron memperkenalkan skema serupa – Khidmat Warganegara Nasional – ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pengumuman Cameron tidak mempunyai komponen angkatan tentera, sebaliknya menggalakkan golongan muda untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seperti kursus pendidikan luar sebagai sebahagian daripada inisiatif “Masyarakat Besar” beliau.

Jurucakap Parti Buruh berkata: “Ini bukan rancangan – ini adalah kajian yang boleh menelan belanja berbilion-bilion dan hanya diperlukan kerana Parti Konservatif telah mengurangkan angkatan tentera kepada saiz terkecil sejak zaman Napoleon.

“Britain telah muak dengan Parti Konservatif, yang kehabisan idea, dan tidak mempunyai rancangan untuk menamatkan 14 tahun kekacauan. Sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baru dan membina semula Britain dengan Parti Buruh.”

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)