KILANG PAKAIAN MILIK PATI WARGA BANGLADESH TUMPAS

KILANG PAKAIAN MILIK PATI WARGA BANGLADESH TUMPAS

SELANGOR – Pihak Imigresen telah melakukan satu operasi dan berjaya menahan seorang pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh bersama 45 orang PATI di Ampang baru-baru ini.

Imigresen telah menyerbu 2 buah kilang pakaian dan 2 premis lain iaitu sebuah bangunan pejabat dan pusat pameran milik seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 46 tahun. Suspek menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia. Syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012.

Modus Operandi (MO) suspek adalah menubuhkan syarikat dengan kerjasama warga tempatan dan mengunakan sumber tenaga kerja dari kalangan PATI untuk memaksimakan keuntungan. Suspek bertindak menyewa beberapa premis komersial  termasuk sebuah bangunan  tiga tingkat  untuk dijadikan kilang bagi aktiviti memotong, menjahit, mencetak pakaian selain dijadikan sebagai hostel pekerja. Manakala sebuah premis pula dijadikan sebagai pusat pameran dan jualan syarikat.

Suspek juga mampu menggaji seramai 45 orang PATI dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1600.00 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan. Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui  perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000.00 sebulan.

Semasa serbuan, Imigresen telah menahan seramai 45 orang warganegara asing berasal daripada Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang disyaki sedang menjalankan aktiviti menjahit pakaian. Kesemua mereka berumur diantara 17 hingga 56 tahun.  Pemeriksaan juga mengesan beberapa orang pekerja yang ditahan turut memiliki PLKS.ppp

Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan harian pakaian, dokumen-dokumen syarikat dan beberapa Sijil Pemilikan Kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama syarikat yang sama. Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank tempatan

Kesemua tahanan kini ditahan dibawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari untuk siasatan lanjut. Manakala suspek dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun yang juga merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan-kesalahan lain berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)