Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu, wanita ditahan

Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu, wanita ditahan

PUTRAJAYA,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan dan menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan premis berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam berkata, dalam serbuan bersepadu itu, sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk tujuan memproses ubat batuk itu turut dirampas.

“Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, operasi bersepadu pada 15 Dis lepas itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) susulan aduan yang diterima serta risikan awal oleh KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

Azman berkata, selain itu, dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan itu turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 56 akaun turut dibekukan melibatkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta,” katanya.

Azman berkata, syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram, manakala wanita itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

KKM juga, katanya, akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366] yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)