Kilang sawit punca pencemaran sungai diarah henti operasi

Kilang sawit punca pencemaran sungai diarah henti operasi

KUALA LUMPUR,. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengarahkan sebuah kilang kelapa sawit di Kluang, Johor, menghentikan operasi kerana menyebabkan pencemaran Sungai Sembrong.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata arahan menghentikan operasi mengilang buah sawit berkuat kuasa serta-merta sehingga ditarik balik oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, yang mengesan pencemaran itu.

“Sekiranya kilang berkenaan gagal mematuhi arahan ini, MPOB boleh mengambil tindakan mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan sama menyebut, JAS Johor telah mengambil tindakan menggantung lesen operasi kilang itu selama satu bulan bermula 3 Jun sehingga 2 Julai depan atau sehingga JAS berpuas hati dengan pembaikan yang dilaksanakan.

“Siasatan pencemaran sungai dilakukan oleh JAS bersama Jabatan Perikanan Cawangan Kluang dan wakil penduduk Orang Asli dari Kampung Sedohok, di mana kejadian ikan mati mula dikesan, susulan aduan yang diterima pada 2 Jun lalu.

“Siasatan dijalankan di sepanjang Sungai Sembrong menggunakan bot dan menyusuri sungai melalui daratan serta menjalankan pensampelan secara ‘in-situ’.

“Berdasarkan siasatan JAS bersama MPOB, didapati terdapat perbezaan air berwarna gelap bercampur dengan air sungai dari aliran punca industri yang disyaki, iaitu dari kilang kelapa sawit,” kata kenyataan berkenaan.

Hasil penguatkuasaan terhadap kilang berkenaan, mendapati terdapat perlanggaran syarat lesen yang dikeluarkan JAS di mana berpotensi menyebabkan pencemaran akibat pelepasan efluen.

“Penggantungan lesen selama satu bulan dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada syarat lesen berkaitan pelepasan efluen dari premis.

“Notis arahan turut dikeluarkan kerana perlanggaran syarat selepas kilang itu gagal menjalankan penyelenggaraan ke atas sistem perparitan premis bagi memastikan resapan yang baik dan mengelakkan efluen mengalir memasuki alur air berdekatan,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )