Kira-kira 1.9 juta dos vaksin diperlukan bagi sektor pembuatan

Kira-kira 1.9 juta dos vaksin diperlukan bagi sektor pembuatan

SEREMBAN,. Kira-kira 1.9 juta dos vaksin COVID-19 diperlukan bagi sektor pembuatan menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bermula bulan depan hingga September ini bagi mencapai tahap imuniti kelompok sektor, kata Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata sejumlah 600,000 dos vaksin diperlukan bulan depan, 600,000 dos pada Ogos dan 795,000 dos menjelang September bagi menjayakan program itu di 49 pusat pemberian vaksin (PPV) industri yang ditetapkan.

“Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin memberi jaminan PIKAS harus diperuntukkan 600,000 dos pada Julai, kita jangkakan pada akhir September pemvaksinan selesai dan mencapai imuniti kelompok dalam sektor pembuatan.

“Sektor pembuatan ini satu daripada sektor penting dalam ekonomi negara kerana mereka merupakan tulang belakang ekonomi kita dan kita sekarang berada pada peringkat di mana kita perlu mempercepat pemulihan ekonomi,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV Industri di d’Tempat Country Club, Bandar Seri Sendayan, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata kira-kira 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan disasarkan menerima vaksin COVID-19 menerusi pelaksanaan PIKAS.

Dalam pada itu, beliau berkata majikan wajib melengkapkan pemberian dua dos vaksin kepada pekerja masing-masing menerusi program PIKAS secara percuma walaupun terdapat pekerja yang berhenti kerja atas alasan tertentu.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya sedang melihat keperluan penambahan PPV industri dan akan berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengenai perkara itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)