K’jaan Persekutuan sedia bantu segerakan projek LRT P.Pinang
BUKIT MERTAJAM,. Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan kesediaan untuk memberikan dana tambahan bagi menyegerakan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan yang lepas telah beberapa tahun tidak memberikan dana yang cukup, terutamanya untuk pembangunan infrastruktur yang mendesak di Pulau Pinang.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan semalam, dan saya juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam tempoh satu atau dua minggu nanti untuk mencari kaedah yang baik untuk menanggung kos pembinaan LRT yang tinggi,” katanya pada ucapan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di sini semalam.
Katanya beliau berharap projek ini dapat meredakan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
Projek LRT adalah satu daripada komponen utama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), yang merupakan strategi jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu, dengan laluan LRT dirancang menghubungkan Bayan Lepas dengan persimpangan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).
Sementara itu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook ketika diminta mengulas mengenai pengumuman itu berkata secara prinsipnya kerajaan persekutuan telah memberikan keputusan mengenai pelaksanaan projek LRT Pulau Pinang itu.
Katanya kini fokus adalah untuk melaksanakan projek ini secepat mungkin bagi mengatasi masalah kesesakan.
“Kerajaan persekutuan bersedia untuk membiayai projek ini tetapi model dan mekanisma pembiayaan perlu dibincang dan diperincikan, sama ada melalui dana daripada pembangunan atau melalui PPP (kerjasama Awam Swasta), itu perlu kita perincian lagi,” katanya.
— BERNAMA