KKD kenal pasti kawasan pedalaman, pulau-pulau yang kurang liputan komunikasi

KKD kenal pasti kawasan pedalaman, pulau-pulau yang kurang liputan komunikasi

JOHOR BAHRU,. Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengenal pasti kawasan yang mempunyai capaian rangkaian komunikasi yang kurang atau tidak mempunyai liputan terutama di pedalaman dan pulau-pulau bagi memastikan perkhidmatan itu dapat disediakan dengan seberapa segera.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata beliau akan meminta agensi berkaitan mengenal pasti sekali gus menyediakan senarai tersebut secepat mungkin untuk tindakan selanjutnya.

“Saya akan minta satu senarai untuk mengenal pasti mana-mana kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang masih tiada perkhidmatan telefon ataupun rangkaian itu supaya kita boleh bincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagaimana kita boleh mempercepatkan untuk membekalkan perkhidmatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Bahru, di sini, hari ini.

Beliau berkata menjadi fokus kerajaan terutamanya KKD dalam memastikan perkhidmatan komunikasi sentiasa dalam keadaan baik, tidak terganggu atau terputus terutama apabila berlaku sesuatu bencana.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika ditanya mengenai sesetengah kawasan hotspot banjir di kawasan pedalaman seperti perkampungan orang Asli di Mersing yang masih dilihat kurang liputan komunikasi.

Ketika ditanya sama ada kementerian menerima laporan mengenai kejadian komunikasi terputus di Terengganu dan Kelantan yang kini terjejas teruk akibat banjir, beliau berkata tiada laporan diterima setakat ini, namun syarikat-syarikat telekomunikasi telah diminta untuk bersiap siaga.

“Di kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) keadaan masih terkawal.Setakat ini, kita tidak terima apa-apa laporan (mengenai gangguan telekomunikasi). Kalau ada laporan dan keperluan, silalah hantar laporan kepada KKD dan kita akan meneliti keperluan tersebut,” kata beliau.

Beliau berkata syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan menyediakan set penjana elektrik sekiranya terdapat gangguan elektrik bagi memastikan menara telekomunikasi masih dapat beroperasi selain meletakkan rangkaian mudah alih di PPS yang padat.

Selain itu, KKD akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan bahawa amaran itu dapat dihantar ke pengguna yang berada di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti dalam masa singkat selain menerusi televisyen dan radio.

“Jadi persiapan di peringkat KKD telahpun ada pelbagai perbincangan dan saya harap kita boleh pastikan bahawa amaran itu boleh sampai kepada komuniti dalam masa yang paling singkat dan dalam masa yang sama, perkhidmatan komunikasi tidak terganggu apabila berlaku bencana yang besar,” kata Teo.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)