KKM diberi dua hingga tiga minggu bentang SOP, cadang buka sempadan kepada kabinet

KKM diberi dua hingga tiga minggu bentang SOP, cadang buka sempadan kepada kabinet

ISKANDAR PUTERI,. Kementerian Kesihatan (KKM) diberi masa dua hingga tiga minggu untuk membentangkan kepada kabinet pelbagai cadangan serta prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan negara kepada pelawat, sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan membuka sempadan harus dilihat dengan teliti memandangkan pelbagai pendapat diterima kerajaan, termasuk ada kalangan rakyat masih mahu kerajaan membuat intervensi dalam perkara-perkara terutamanya yang melibatkan SOP dan sebagainya, kerana takut dengan penularan COVID-19.

“Kalau boleh kita nak buka semula ekonomi, terutamanya pendapatan daripada pelancongn ini besar, jadi boleh membantu negara, tetapi dalam masa yang sama kita perlu lindungi rakyat kita, jadi keseimbangan ini yang sedang dicari oleh KKM.

“Kita dah beri tempoh kepada KKM dalam masa dua hingga tiga minggu, mereka kena bentang dalam kabinet untuk kita buat keputusan… sama ada kita hendak buka terus sempadan kita, ataupun masih lagi ada sekatan-sekatan (melibatkan) negara-negara terpilih,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengulangi pendirian mengenai kepentingan pembukaan sempadan pada 1 Mac ini.

Pada 8 Februari lepas, Muhyiddin mengumumkan keputusan MPN yang bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan, bagaimanapun menurutnya ia perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)