KKMM adakan perbincangan bantu industri kreatif

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pelbagai usaha sedang dan telah dilaksanakan kerajaan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana semua pendapatan, di samping menjaga kebajikan mereka selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata semalam satu perbincangan diadakan antara beliau bersama pegawai kementeriannya dengan wakil Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Penyiaran (RTM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MY Creative Ventures.

Menurutnya perbincangan berkisar kepada langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membantu penggiat dan karyawan seni kreatif terutamanya yang berskala kecil, untuk memulakan semula aktiviti masing-masing dalam jangka masa pendek, iaitu enam bulan.

“Input-input daripada perbincangan ini akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan (MOF), untuk pertimbangan dijadikan sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi yang dijangka diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Saya telah meminta setiap agensi kerajaan yang terlibat dalam mesyuarat itu untuk menyenaraikan bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan yang akan datang dengan menggunakan peruntukan sedia ada masing-masing dan tidak memerlukan sebarang pindaan kepada aspek kawal sedia ada,” katanya.

“Agensi-agensi itu juga perlu memaklumkan bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan menggunakan dana sedia ada, tetapi memerlukan tindakan lanjut dari aspek kawal selia sedia ada yang perlu kelulusan pihak MOF,” tambahnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata beliau juga memohon setiap agensi yang berkaitan untuk memberi input berhubung keperluan dana tambahan yang diperlukan daripada pihak MOF bagi membolehkan bantuan diberikan.

“Dalam hubungan ini, saya mengalu-alukan dan menghargai komitmen yang telah diberikan oleh pihak MOTAC yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam menerajui usaha-usaha membantu penggiat industri kreatif memulakan semula aktiviti masing-masing.

“Bagi pihak KKMM, saya akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) melalui agensi-agensi KKMM seperti FINAS dan MDEC,” katanya.

Katanya kerajaan mengambil berat terhadap nasib penggiat-penggiat industri kreatif tempatan yang terkesan dari segi ekonomi berikutan wabak COVID-19 yang melanda.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )