KKMM, KPKT bantu penggiat seni miliki kediaman

KKMM, KPKT bantu penggiat seni miliki kediaman

PETALING JAYA, 10 Sept — Seramai 25 penggiat seni menerima rumah mampu milik, manfaat daripada kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata inisiatif Perumahan Seni Prihatin FINAS itu juga bertujuan mewujudkan pelan pembangunan komuniti filem di lokasi perumahan terpilih.

“Kita meninjau keperluan artis-artis veteran yang masih belum ada perumahan yang sempurna, dengan itu mereka ambil inisiatif berhubung dengan KPKT untuk peruntuk rumah-rumah kepada artis ini.

“KPKT akan terus mencari rumah-rumah yang tersedia (untuk membantu mereka yang layak), projek PPR dan projek lain di bawah KPKT iaitu Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perumahan Penjawat Awam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin FINAS yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di sini, hari ini.

Zuraida berkata sebanyak 25 rumah lagi akan disediakan dalam masa sebulan bagi fasa kedua program itu.

Katanya penggiat seni hanya perlu membayar RM255 sebulan bagi sewaan unit kediaman mereka dan kriteria kelayakan ialah individu berkenaan terlibat dalam industri seni dan kurang berkemampuan selain melepasi proses semakan silang beberapa agensi kerajaan.

Beliau berkata tawaran itu tidak terhad kepada pelakon tetapi turut melibatkan kakitangan, kru penggambaran dan pihak media.

Sementara itu, Saifuddin berkata pihaknya melalui FINAS sedang meneliti hal ehwal kebajikan penggiat seni secara keseluruhan.

“Kita menunggu keputusan Banci 2020 yang sedang diadakan, kita telah berbincang supaya dalam banci itu kita dapat mengesan hal ehwal kebajikan pelakon, penyanyi, pereka fesyen, bekas penari,” katanya.

“Banyak…kementerian ini mempunyai warga tersendiri yang harus dilihat kebajikan. Hari ini fokus kita perumahan untuk pelakon dan ada lagi perkara lain yang kita lihat,” tambahnya.

Daripada 25 tawaran tersebut, seramai 19 penggiat seni ditawarkan PPR Sri Aman di Kuala Lumpur manakala enam lagi ditawarkan PPR Lembah Subang 2, Selangor.

Turut hadir Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )