KKMM lancar pek kesedaran kepada penunggang, pelanggan GrabFood
KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengedarkan sebanyak 120,000 unit ‘pek kesedaran’ kepada penunggang dan pelanggan GrabFood melalui ‘Kempen Memerangi COVID-19 bersama KKMM’.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata kempen ini dilaksanakan selaras dengan arahan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini.
Beliau berkata, melalui kempen yang akan dimulakan hari ini, pek kesedaran yang mengandungi topeng penutup hidung dan mulut, risalah, pelekat dan magnet peti ais COVID-19 akan diedarkan di kawasan Lembah Klang kepada penunggang dan pelanggan GrabFood.
“Saya percaya sejak PKP berkuat kuasa, masyarakat Malaysia khususnya di Lembah Klang lebih selesa membuat pembelian menerusi aplikasi dalam talian.
“Justeru, menerusi kempen yang akan berlangsung sehingga PKP berakhir, KKMM bekerjasama dengan syarikat e-hailing Grab untuk menjalankan kempen ini bagi memastikan orang ramai duduk di rumah.
“Pada peringkat permulaan kempen ini akan dijalankan di kawasan Lembah Klang dan ia akan diperluas ke tempat lain secara berperingkat, ” katanya selepas acara pelancarannya, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Zahidi berkata, melalui kempen itu, sebanyak 20,000 unit pek kesedaran diserahkan kepada penunggang GrabFood, manakala 100,000 lagi akan diedarkan kepada pelanggan syarikat e-hailing itu.
Beliau berkata, kempen seumpama juga akan dikembangkan membabitkan jalinan kerjasama dengan syarikat lain seperti platform e-dagang, Lazada Malaysia dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Zahidi berkata, berhubung berita palsu berkaitan COVID-19, ‘Pasukan Respons Pantas KKMM’ sudah membuat penafian terhadap 221 laporan palsu sejak 24 Mac lalu sehingga hari ini.
Beliau berkata, di bawah Surujanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula, sebanyak 237 kertas siasatan berhubung berita palsu COVID-19 dibuka pihak SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 24 kes daripadanya didakwa di mahkamah.
“Melalui kempen ‘tidak pasti jangan kongsi’, kita merekodkan pengurangan kes apabila hanya 24 kes didakwa di mahkamah, sekali gus nampak kejayaan kempen ini.
“Atas tindakan tegas dilaksanakan PDRM dan KKMM masyarakat mulai sedar dan tidak berani menyebarkan berita palsu dan ini adalah perkembangan cukup baik. Kita mahu masyarakat menggunakan teknologi dengan berhemah, ” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor, berkata syarikat itu amat berbangga dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk sama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.
“Kami juga aktif menyebarkan maklumat yang tepat sebelum ini dan pembabitkan kami dalam usaha ini diharap dikembangkan melalui kerjasama dengan KKMM ke seluruh negara,” katanya.