KKMM mahu syarikat telekomunikasi bersama-sama tingkatkan rangkaian komunikasi

TEBEDU,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mahu syarikat-syarikat telekomunikasi bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan rangkaian komunikasi negara terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata selain memikirkan keuntungan, syarikat telekomunikasi juga harus menjadi pembekal perkhidmatan yang sama rata di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Saya mahu komitmen yang lebih daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini kerana saya sering mendengar keluhan rakyat di luar bandar, ertinya masih ada lompong yang perlu diberikan perhatian.” katanya.

Annuar berkata beliau memahami bahawa kebiasaannya syarikat telekomunikasi tidak begitu berminat melabur di kawasan yang kurang memberikan pulangan seperti kawasan luar bandar yang tidak ramai penduduk tetapi mereka perlu lebih memahami bagi membolehkan rakyat di luar bandar dan pedalaman mendapat liputan Internet yang lebih berkualiti.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di tapak menara telekomunikasi Kampung Mongkos, Serian yang terletak kira-kira 110 kilometer dari bandar raya Kuching hari ini.

Annuar berkata kementeriannya juga akan terus memantau projek-projek pembinaan serta menaik taraf menara telekomunikasi di Sarawak di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu.

“Saya akan buat spot check (pemeriksaan mengejut) dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat secara langsung di mana kawasan yang perkhidmatannya tidak berapa memuaskan.

Rakyat boleh membuat aduan di portal peta JENDELA di jendela.my untuk memberikan maklum balas mengenai perkhidmatan di kawasan masing-masing atau memohon perkhidmatan baharu daripada penyedia perkhidmatan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )