KKMM pergiat pelan JENDELA pada 2021 untuk kurangkan jurang digital – Saifuddin

KKMM pergiat pelan JENDELA pada 2021 untuk kurangkan jurang digital – Saifuddin

KUALA LUMPUR,. Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan dipergiatkan lagi pada tahun hadapan bagi mengurangkan jurang digital dan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta inklusif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ia akan dilakukan terutama di tempat bercapaian paling lemah seperti kawasan pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya pandemik COVID-19 secara langsung mempercepatkan transformasi pendigitalan dengan penggunaan teknologi digital dan perkhidmatan Internet oleh semua lapisan masyarakat dalam semua aspek termasuk perniagaan, perkhidmatan, pendidikan, komunikasi serta hiburan.

“Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merealisasikan polisi kerajaan mengiktiraf infrastruktur telekomunikasi sebagai utiliti awam seperti air dan elektrik,” menurutnya dalam perutusan tahun baharu beliau, ‘Tahun 2021 Mara Ke Hadapan’ hari ini.

Saifuddin berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan meneruskan inisiatif berpaksikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya mencapai cita-cita Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Malaysia akan turut mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang pertama (ADGMIN1) pada 21 hingga 22 Jan 2021 selain memperkukuhkan infrastruktur keselamatan siber negara yang berpandukan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024,” katanya.

Beliau berkata bagi merancakkan industri kreatif negara, KKMM akan mewujudkan Perbadanan Muzik serta pelan ‘Road to Oscar & Grammy Awards’ yang akan mengaktifkan bakat baharu dan penggiat seni tanah air untuk menghasilkan karya yang berdaya saing bertaraf antarabangsa.

Penganjuran Anugerah Nasyid Kebangsaan dan Antarabangsa yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan pembangunan karya nasyid akan turut direncanakan.

Selain itu, Saifuddin berkata KKMM akan meningkatkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti yang selama ini agak terpinggir seperti golongan kurang upaya (OKU) serta Orang Asli.

“Unit Komunikasi OKU yang diketuai oleh warga OKU akan diwujudkan mulai 2021. Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memastikan semua komunikasi kerajaan sampai ke setiap warga Orang Asli.

“Selain itu, komunikasi komuniti luar bandar juga akan ditambah baik di setiap daerah dengan kerjasama pemimpin tempatan,” katanya.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita bersama-sama memulakan tahun 2021 untuk bangkit, berpadu tenaga dan berusaha mendepani cabaran masa hadapan bagi mencapai kejayaan membina kesejahteraan negara ke arah Malaysia Prihatin,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )