Klinik Kesihatan Bukit Indah mula operasi Ogos ini – Adham Baba

Klinik Kesihatan Bukit Indah mula operasi Ogos ini – Adham Baba

JOHOR BAHRU,. Klinik Kesihatan Bukit Indah di sini, yang kos pembinaan berjumlah RM18 juta, dijangka beroperasi awal Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Klinik Kesihatan (Jenis Tiga) itu, yang mula dibina sejak Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 4 Mac lepas, bakal menyediakan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Bukit Indah dan Gelang Patah.

Antara perkhidmatan yang akan disediakan ialah rawatan pesakit luar, pergigian, farmasi, kecemasan, kesihatan ibu dan anak, pengimejan, makmal dan terapi cara kerja.

“Secara amnya, Klinik Kesihatan diklasifikasi kepada tujuh jenis berdasarkan bilangan purata kedatangan pesakit sehari, yang mana Klinik Kesihatan jenis tiga ini dianggarkan menerima pesakit antara 300 hingga 500 sehari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Tiga Bukit Indah di sini, hari ini.

“Saya berharap dengan adanya klinik ini ia akan memberi impak yang positif kepada penduduk di negeri ini dan perkhidmatan yang disediakan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)