Klip drama undang maksiat: Menteri Agama zahir kekhuatiran

Klip drama undang maksiat: Menteri Agama zahir kekhuatiran

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menzahirkan rasa khuatir beliau berkait klip promosi sebuah drama yang mengundang maksiat.

Menerusi perkongsian di media sosial, Idris berkata beliau akan menghubungi pihak terbabit supaya perkara tersebut boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

Tegasnya, industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin beliau halangi, tapi jika ia mencemarkan fitrah dalam agama, beliau tidak boleh membiarkan ia berlaku tanpa dinasihati.

“Hela nafas panjang saya.

“Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan, yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar takwa, namun (kini) seolah-olah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam.

“Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci klip promosi berunsur maksiat yang dimaksudkan.

Idris pada masa sama menyeru kepada seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan.

“Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela. Moga Allah terus memimpin kita,” katanya.

-Harits Asyraf Hasnan

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)