KLK akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan kebakaran hutan

KLK akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan kebakaran hutan

KUALA LUMPUR,. Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan terhadap kebakaran hutan di tanah milik anak syarikatnya, P.T. Adei Plantation and Industry (P.T Adei).

Semalam, pihak berkuasa Indonesia menamakan P.T.Adei sebagai satu daripada syarikat berkaitan Malaysia yang disiasat sebagai punca kebakaran hutan di rantau Riau.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu mengesahkan berlakunya kawasan kebakaran yang menjejaskan 2.8 hektar (ha) daripada 14,400 ha ladang yang diuruskan P.T. Adei dan ia berlaku semasa musim kering luar biasa dengan hujan direkodkan hanya dua hari dalam tempoh 60 hari lepas.

“Pada masa ini, 4.25 ha, yang termasuk kawasan pengasingan telah disita untuk siasatan yang sedang dijalankan.

“P.T. Adei akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia dan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu dalam siasatan kes itu, ” katanya.

KLK berkata ia mengakui kessungguhan dan usaha kerajaan Indonesia dalam menangani masalah rumit itu dan akan menyokong usaha itu.

“KLK ingin mengulangi bahawa ia melaksanakan dasar pembakaran sifar dan mematuhi sepenuhnya dasar ASEAN mengenai Pembakaran Sifar untuk semua operasi di ladangnya.

“Kumpulan ini serius dalam agenda memadam kebakaranndan mempunyai pasukan pemadam kebakaran yang dilengkapi peralatan di ladang-ladangnya, yang menjalankan latihan memadam kebakaran tahunan yang disahkan dan mengamalkan sistem rondaan ketat, yang termasuk membina menara api untuk memaklumkan kepada pasukan peronda mengenai mana-mana kejadian kebakaran ,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Industri Utama Malaysia, Teresa Kok Suh Sim telah menyatakan kebimbangan mengenai penyitaan tanah milik anak syarikat empat syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia, yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di rantau ini.

Selain daripada KLK, syarikat lain yang dinamakan ialah Sime Darby Plantation, IOI Corporation dan TDM.

Kok berkata kenyataan pihak berkuasa Indonesia mengenai perkara itu adalah “tuduhan serius”, kerana syarikat berkenaan telah menetapkan dan mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan , sama ada melalui Minyak Sawit Mampan Malaysia, Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan, Kelestarian Antarabangsa dan Persijilan Karbon atau gabungan sistem pensijilan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)