Koeman sudah ada pengganti
MADRID,. Ronald Koeman memenuhi impiannya menjadi pengendali Barcelona tetapi sudah ada perancangan untuk menggantikannya dengan orang lain.
Bekas pengendali Southampton dan Everton itu mengambil alih kelab di mana dia pernah memenangi Piala Eropah sebagai pemain.
Dia dilantik menggantikan Quique Setien yang dipecat selepas kekalahan memalukan Barcelona di tangan Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
“Kita perlu melakukan perubahan, imej tempoh hari menentang Bayern bukan apa yang kita mahukan. Kita akan bekerja keras untuk mengembalikan prestij.
“Saya hanya mahu bekerja dengan mereka yang mahu berada di sini – jika mereka tidak gembira di sini, katakan saja.
“Saya mahukan orang yang sanggup memberikan segalanya untuk Barca,” kata Koeman.
Namun perancangan Koeman itu mungkin hanya sementara selepas calon presiden, Victor Font bertekad melantik Xavi sebagai pengendali sekiranya dia menang.
“Jika Koeman mengharungi musim cemerlang sekalipun, saya tidak akan menukar rancangan saya.
“Jika saya menjadi presiden, Koeman tidak akan menjadi pengendali Barca pada musim 2021-2022.
“Siapa yang akan menerajui pasukan akan ditentukan oleh lembaga pengarah – bagi kami dia adalah Xavi,” kata Font. – AGENSI