Kompaun terhadap Ahmad Maslan adalah tindakan punitif – SPRM

Kompaun terhadap Ahmad Maslan adalah tindakan punitif – SPRM

KUALA LUMPUR: Tindakan kompaun terhadap Datuk Seri Ahmad Maslan yang dikenakan hari ini merupakan satu tindakan punitif, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menerusi satu kenyataan media, SPRM berkata tindakan sama turut dilakukan terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ahmad Maslan sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

“Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 (Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1059 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001) pada 20 Januari 2020.

“Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” memetik kenyataan itu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Ahli Parlimen Pontian itu dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, pada Selasa.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )