Konflik Iran-AS tidak jejas promosi pelancongan Malaysia di Asia Barat

Konflik Iran-AS tidak jejas promosi pelancongan Malaysia di Asia Barat

KUALA LUMPUR,. Konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan usaha Malaysia mempromosi pelancongan di negara-negara Asia Barat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Beliau berkata kementerian itu bagaimanapun memantau rapat situasi semasa di rantau berkenaan bagi mengenal pasti sama ada ia memberi impak terhadap industri pelancongan.

“Memang satu daripada usaha kami adalah untuk membawa pelancong dari Asia Barat dan usaha kami tidak akan berhenti untuk melakukan promosi di negara-negara tersebut.

“Impaknya (konflik Iran-AS) saya rasa belum dilihat lagi pada masa ini tetapi saya dah bincang dengan Datuk Musa, (Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof), kami akan pantau perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama di antara Tourism Malaysia dengan Telekom Malaysia Berhad sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di Menara Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Mengenai persepsi kononnya promosi VM2020 di negara ini hambar, Musa berkata persepsi itu salah kerana pihaknya telah melakukan promosi itu sejak 2017.

“Ini adalah silap persepsi, Tourism Malaysia telah melancarkan pelancaran awal VM2020 pada Nov 2017 di London. Bulan Januari kami lancar sekali lagi di Forum Pelancongan ASEAN di Thailand,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)