Kongres Wanita PKR: Budaya buli terhadap wanita, seksisme dibangkitkan

Kongres Wanita PKR: Budaya buli terhadap wanita, seksisme dibangkitkan

PUTRAJAYA,. Wanita PKR menyifatkan budaya membuli wanita merupakan antara faktor golongan itu menjauhkan diri daripada melibatkan diri dalam arena politik.

Ketika berucap dalam Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2023, Exco Majlis Pimpinan Pusat PKR Sandrea Ng berkata ketika ini masih terdapat ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam pelbagai segi kehidupan termasuk tempat kerja, pendidikan dan dalam kalangan masyarakat ekoran daripada tahap sensitiviti gender yang rendah.

Ng berkata malah, ketidakseimbangan turut berlaku di institusi legislatif iaitu di Dewan Rakyat yang sungguh mengecewakan golongan wanita kerana masih terdapat beberapa ahli politik berfikiran “zaman purba” yang berulang kali melontarkan kenyataan yang tiada sensitiviti gender.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak berkata dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini sahaja, sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen pembangkang dikesan mengeluarkan kenyataan seksis dan lucah sehingga mengguris hati golongan wanita.

“Saya ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kesemua kenyataan tersebut kerana tindak-tanduk ini adalah tidak bertanggungjawab malah membentuk budaya buli kepada kaum wanita dalam arena politik,” katanya pada Ucapan Refleksi Pimpinan Wanita PKR dalam perspektif kerajaan sempena kongres itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Ng yang juga Pengarah Komunikasi PKR Perak berkata justeru, semua ahli politik wanita malah lelaki harus bersatu padu dalam isu berkenaan untuk mengecam tingkah laku yang memperlekehkan golongan wanita kerana budaya negatif sebegini antara faktor utama yang menyebabkan golongan wanita menjauhkan diri daripada dunia politik.

Sementara itu, dalam sesi perbahasan kongres itu perkara berkaitan memperkasakan serta memberi kesaksamaan kepada golongan wanita dalam pelbagai aspek dan institusi pentadbiran turut dibangkitkan beberapa perwakilan Wanita PKR.
Antaranya, Wanita PKR Selangor yang diwakili Ainul Aizura Ahsan menggesa negara ini melakukan lebih banyak promosi dan merealisasikan kesaksamaan jantina dan melindungi setiap hak golongan wanita.

“Ini termasuk menerapkan seluasnya undang-undang melawan diskriminasi gender di semua lapangan dan keganasan dalam rumah tangga serta meningkatkan representasi di badan-badan legislatif dan posisi kepimpinan lainnya,” katanya.

Perwakilan dari Terengganu, Ramlah Saleh pula berkata pihak institusi dan agensi perlu memastikan serta berkewajipan untuk mengukur kesetaraan mengenai kemajuan wanita dalam pencapaian mereka tanpa mengira jantina.

“Wanita juga perlu diberi keadilan mengikut kelayakan untuk berada di tempat yang selayaknya. Sehubungan itu pihak institusi dan agensi kerajaan perlu memberi latihan serta kursus serta kesedaran kepada pekerja masing-masing berkaitan stereotaip gender dalam institusi tersebut agar dapat mempertingkatkan kesedaran gender, sekali gus mengurangkan isu diskriminasi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)