Kongres Wanita PKR teratur, AMK penuh ´drama´

Kongres Wanita PKR teratur, AMK penuh ´drama´

MELAKA,. Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh berlangsung serentak, namun dalam suasana yang berbeza hari ini.

Perwakilan mula membanjiri MITC sejak awal pagi bagi menghadiri kedua-dua kongres sayap, yang dijadualkan bermula 9.00 pagi, namun terganggu seketika apabila berlaku insiden kekecohan di pintu masuk Dewan Klasik yang menempatkan Kongres AMK.

Kongres Wanita berjalan dengan lancar, teratur dan berdisiplin, namun suasana berbeza pada persidangan AMK yang penuh ‘drama’.

Kira-kira 500 perwakilan sayap wanita bersidang secara teratur dan penuh disiplin dengan dimulai ucapan aluan oleh Setiausaha Wanita PKR Gan Pei Nei dan diikuti ucapan dasar oleh Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha.

Pada sesi perbahasan, sebanyak 14 perwakilan dari seluruh negara menyampaikan perbahasan pada kongres itu antaranya perwakilan Melaka Kathy Tan Hooi Lian menyatakan amalan meletakkan pekerja wanita di dalam kelas rendah dan tidak penting di dalam organisasi kini tidak lagi relevan.

Katanya satu undang-undang khusus menghentikan diskriminasi gender di tempat kerja perlu digubal berikutan tindakan itu kini tidak boleh diterima dalam masyarakat demokratik dan ia juga bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, perwakilan Sabah Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din mahu PKR, yang kini parti dominan kerajaan, mempertimbangkan permohonan menambah peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di seluruh negara.

Dalam pada itu, suasana tegang dalam kongres AMK yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan apabila dicemari insiden kekecohan sehingga menganggu perjalanan kongres sayap itu.

Kekecohan bermula ketika proses pelantikan Setiausaha AMK Melaka Rashid Abu Bakar dan Setiausaha AMK Kedah Wan Mohamad Syahezral Wan Shahidan sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang baharu.

Kekecohan berlanjutan sehingga mencetuskan pergaduhan antara penyokong mengakibatkan sekurang-kurangnya dua inidividu cedera. Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal dengan bantuan keselamatan.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapan dasarnya menggariskan lima perkara tumpuan AMK bagi mendepani permasalahan generasi muda negara ini iaitu pembentukan komuniti muda, pendidikan tinggi dan peranan mahasiswa, ekonomi anak muda, reformasi dan kepimpinan serta disiplin organisasi.

Jelasnya, dalam usaha membentuk komuniti muda, beliau berkata AMK tidak boleh bergantung hanya kepada agensi atau jabatan semata-mata, sebaliknya AMK perlu kekal berperanan dalam masyarakat.

Ahli Parlimen Johor Bharu itu menegaskan PKR haruslah bermuhasabah dan menilai sejauh mana pencapaian khususnya dalam mendepani nasib dan harapan golongan anak muda.

Berkenaan reformasi dan kepimpinan, PKR katanya perlu kekal dengan prinsip menegakkan keadilan, menolak kezaliman, salah guna kuasa, demokrasi dan menghormati masyarakat berbilang bangsa.

Selain itu, menyentuh disiplin organisasi, beliau berkata ia bukan sekadar perbincangan daripada sudut kepartian tetapi menggilap bakat dan kepimpinan untuk membela rakyat dan bawa perubahan.

Sesi perbahasan ucapan dasar dan usul membabitkan 14 perwakilan dari seluruh negara, antara lain menyentuh mengenai isu disiplin dalam kalangan anggota parti serta seruan agar PKR terus fokus dalam mentadbir negara.

Pada sesi penggulungan, Akmal Nasrullah mengingatkan supaya seluruh anggota AMK mengekalkan semangat reformasi walaupun parti PKR kini bergelar sebuah parti dalam kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)