Konstabel Nicholester Dadup seorang pendiam – Hycinth Joneka

Konstabel Nicholester Dadup seorang pendiam – Hycinth Joneka

JOHOR BAHRU,. Anggota polis Unit Kenderaan Peronda (MPV) Konstabel Nicholester Dadup Unggat, yang maut dalam kemalangan ketika mengejar sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai dipandu penjenayah di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja pagi ini, semasa hayatnya adalah seorang yang pendiam.

Abang ipar mendiang, Hycinth Joneka, 26, berkata dia amat terkejut sejurus menerima berita kemalangan yang meragut nyawa Nicholester Dadup daripada ibu mentuanya di Sibu, Sarawak kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, yang turut meminta dia mendapatkan pengesahan lanjut.

“Ketika itu saya sedang bekerja. Selepas dapat menghubungi pegawai polis itu, saya dimaklumkan mendiang sudah dibawa ke sini (Hospital Sultan Ismail),” katanya, yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Hospital Permai di sini, ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

Terdahulu, Hycinth bersama isterinya Elizcavelynicy Unchi Unggat, 23, menerima kunjungan dan ucapan takziah daripada Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di HSI.

Menurut Hycinth, mendiang adik iparnya baru melaporkan diri di Balai Polis Bandar Dato’ Onn di sini, April lepas, setelah tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching, Sarawak.

“Kali terakhir saya bertemu dengan mendiang dua minggu lepas di rumah sewanya di Bandar Dato’ Onn. Mendiang kelihatan seperti biasa ketika itu. Mendiang seorang yang pendiam dan anak yang baik,” katanya dan memaklumkan mayat mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sibu Jaya, Sarawak, petang ini.

Mendiang Nicholester Dadup, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah selepas MPV dinaiki mereka terbalik dalam insiden kira-kira pukul 5.00 pagi tadi.

Mohammad Fadhirul kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HSI.

Ayob Khan yang ditemui pemberita berkata polis sedang mengesan penjenayah yang melarikan diri dengan Perodua Myvi itu. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )