Korea Selatan pelanggan senjata AS keempat terbesar di dunia

Korea Selatan pelanggan senjata AS keempat terbesar di dunia

SEOUL,. Korea Selatan merupakan pembeli senjata Amerika Syarikat (AS) yang keempat terbesar di dunia sejak 10 tahun lepas, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan pada Isnin.

Menurut buku tahunan pasaran pertahanan global yang diterbitkan Agensi Pertahanan bagi Teknologi dan Kualiti Korea Selatan, AS mengeksport senjata bernilai US$93.1 bilion antara 2009 dan 2018.

Daripada jumlah itu, Korea Selatan membuat pembelian bernilai $6.28 bilion dan menduduki tempat keempat di dunia.

Arab Saudi merupakan pelanggan nombor satu senjata AS dengan pembelian bernilai US$13.47 bilion diikuti Australia (US$7.76 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (US$6.92 bilion).

Jepun berada di tangga kelapan dengan pembelian bernilai US$3.64 bilion.

Buku tahunan itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut jenis senjata yang dibeli negara terbabit namun pembelian oleh Korea Selatan membabitkan 40 unit pesawat pejuang Stealth F-35A, empat pesawat tanpa pemandu Global Hawk dan pelbagai jenis peluru berpandu.

Daripada penghantaran ke luar senjata AS sejak sedekad lepas, pesawat menyumbang sebanyak 56.1 peratus diikuti peluru berpandu (16.5 peratus) dan kenderaan berperisai (11.8).

Sepanjang tempoh itu, AS telah mengimport senjata bernilai US$7.67 bilion daripada negara luar termasuk Jerman, Britain, Kanada dan Perancis.

Korea Selatan bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai 20 negara teratas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )