Koronavirus: BSN dan Bank Rakyat tawar penangguhan sementara pembayaran pinjaman

Koronavirus: BSN dan Bank Rakyat tawar penangguhan sementara pembayaran pinjaman

KUALA LUMPUR,. Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat hari ini mengumumkan tawaran penangguhan sementara pembayaran pinjaman bagi pelanggan mereka iaitu usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat penularan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

“Kami memahami keadaan pelanggan kami yang terdiri daripada pengusaha perniagaan yang mungkin terjejas kerana tidak dapat berurusan dengan pembekal tertentu akibat penularan penyakit ini terutamanya di negara-negara yang berisiko,” kata Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kami menyeru kepada mereka yang terlibat untuk hadir dan berbincang dengan BSN bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka di samping memastikan fasiliti kemudahan dinikmati dengan sebaik mungkin. Sebagai sebuah bank yang prihatin, BSN sentiasa memastikan keperluan pelanggannya diutamakan,” katanya.

Pelanggan boleh hadir di mana-mana Cawangan BSN berhampiran untuk perbincangan atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 bagi keterangan lanjut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed turut meminta pelanggan yang terjejas untuk tampil di mana-mana cawangan Bank Rakyat bagi menangani masalah kewangan yang dihadapi akibat penularan jangkitan itu.

“Ini merupakan waktu yang mencabar bagi komuniti dan ekonomi global. Kami sentiasa memikirkan mereka yang terjejas akibat penularan koronavirus ini.

“Untuk sebarang maklumat atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau kunjungi cawangan berdekatan,” katanya.

Koronavirus yang mula dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China, boleh menyebabkan radang paru-paru dan telah mencatatkan jumlah kematian lebih 500 di negara itu.

Sehingga 3 petang ini, Malaysia mencatat 16 kes positif virus itu dengan empat daripadanya adalah warganegara Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )