Koronavirus: Pemain badminton Malaysia di Thailand ambil langkah berjaga-jaga

Koronavirus: Pemain badminton Malaysia di Thailand ambil langkah berjaga-jaga

KUALA LUMPUR,. Pemain badminton wanita negara yang sedang menjalani latihan di Bangkok, Thailand mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan novel koronavirus 2019.

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kes pertama jangkitan manusia ke manusia semalam selepas seorang pemandu teksi dijangkiti virus itu, menjadikan 19 kes iaitu yang terbanyak di luar China setakat ini.

Bagaimanapun, pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata pasukan itu mengambil semua langkah berjaga-jaga dan pencegahan yang disyorkan oleh pihak berkuasa kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung perkara itu.

Pemain-pemain terlibat ialah perseorangan wanita Soniia Cheah dan S. Kisona serta jurulatih Chin Eei Hui serta pasangan beregu Pearly Tan-M.Thinaah dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang berada di bawah seliaan Rosman Razak.

Choong Hann berkata pemain akan terus berada Bangkok selepas Thailand Masters dari 21 hingga 26 Jan sebagai persediaan ke Kejohanan Badminton Asia dari 11 hingga 16 Feb di Manila, Filipina.

“Mereka menjalani latihan intensif di sana dan selepas latihan mereka terus balik ke bilik hotel. Pendedahan yang sangat minimum terhadap risiko kerana pusat latihan dan hotel lebih selamat berbanding tempat lain.

“Kami telah memaklumkan kepada pemain untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga dan keselamatan yang disyorkan seperti mencuci tangan dengan kerap. Mereka akan pulang ke Malaysia pada Rabu sebelum ke Manila, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Choong Hann berkata semua pemain negara sedang membuat persedian dan memberi fokus untuk mencapai sasaran empat teratas untuk layak berdasarkan merit ke Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark dari 16 hingga 24 Mei.

Pasukan lelaki telah diundi dalam Kumpulan C dengan Taiwan dan Singapura, manakala pasukan wanita berada bersama Jepun dan Hong Kong dalam Kumpulan W.

Bagi Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang dijadualkan berlangsung di Wuhan, pusat penularan wabak itu, dari 21 hingga 26 April, Choong Hann berpendapat pilihan terbaik adalah untuk menukar tempat kejohanan jika ia masih berisiko tinggi.

“Menangguhkan atau membatalkan kejohanan bukan tindakan yang baik kerana ia adalah kejohanan terakhir yang menawarkan mata kelayakan Olimpik Tokyo 2020. Ia terlalu awal dan terpulang kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) untuk memutuskannya, tetapi kejohanan itu adalah peluang terakhir untuk pemain dari Asia mendapatkan mata kedudukan yang berharga, ” katanya.

Sementara itu, BWF dalam satu kenyataan mengesahkan penangguhan China Masters, antara kelayakan ke Tokyo yang dijadualkan dari 25 Feb hingga 1 Mac di Lingshui Agile Gymnasium, Sanya sehingga ke satu tarikh yang belum tetapkan.

BWF menyatakan bahawa slot masa baharu sedang dibincangkan dengan Persatuan Badminton China (CBA) dan pilihan yang ada adalah dari Mei dan ke atas, bermakna kedudukan mata dari acara itu tidak lagi menyumbang kepada kelayakan Olimpik kerana ia akan berada di luar tempoh kelayakan, yang berakhir pada 29 April.

“BWF dan CBA telah mempertimbangkan semua risiko kesihatan, keselamatan dan logistik yang diperlukan dan kedua-dua pihak percaya adalah wajar untuk menangguhkan kejohanan pada masa ini.

“BWF juga mengesahkan Badminton Asia sedang mengkaji semula acara utamanya, BAC dan BWF akan menyokong Badminton Asia dan CBA dalam proses ini. Bagaimanapun, pada masa ini terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berkaitan perkara ini.

“BWF terus memantau perkembangan terkini mengenai koronavirus dan menyedari bahawa Jelajah Dunia BWF (di Guangzhou dari 9 hingga 13 Dis) dan pertandingan lain mungkin terjejas, tetapi tidak ada rancangan atau keputusan konkrit pada masa ini untuk menukar status acara lain, ” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )