KPDNHEP perinci wajibkan vaksinasi semua pekerja industri peruncitan – Nanta

KPDNHEP perinci wajibkan vaksinasi semua pekerja industri peruncitan – Nanta

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sedang dalam perincian fasa akhir untuk menjadikan vaksinasi semua pekerja dalam industri peruncitan, sebagai salah satu prasyarat atau paspot untuk kelulusan beroperasi sesebuah syarikat, ketika fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar) berkata, ini terutamanya bagi aktiviti ekonomi yang melibatkan sentuhan dan interaksi bersemuka secara berdekatan.

Beliau berkata, sektor peruncitan, pengedaran dan perkhidmatan, adalah salah satu sektor ekonomi yang sangat penting kepada pembangunan negara.

“Ia merupakan sektor yang sangat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana hampir keseluruhan sektor peruncitan tidak dibenarkan beroperasi, kecuali yang menawarkan perkhidmatan perlu.

“Justeru kementerian amat berharap agar vaksinasi kepada barisan hadapan sektor peruncitan dapat disegerakan, bagi membolehkan sektor peruncitan dibuka semula dan beroperasi sepenuhnya lebih awal di bawah PPN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu juga sedang meneliti untuk memperluaskan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), bagi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di luar Lembah Klang, khususnya di Johor dan Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Justeru itu Nanta berkata, kementerian menyeru semua syarikat sektor peruncitan dan pengedaran termasuk pasar raya, kedai runcit, pasar raya mini, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai perkakasan, kedai gunting rambut dan lain-lain sektor peruncitan, untuk menyertai RiVAC dan mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi kepada pekerja mereka dengan segera.

“Penambahan PPVIN melalui Pusat RiVAC ini, akan mempercepatkan pencapaian objektif Operasi Lonjakan Kapasiti yang menyasarkan 100 peratus penduduk Lembah Klang, akan menerima vaksinasi sekurang-kurangnya dos pertama, menjelang 1 Ogos.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lima Pusat RiVAC di Lembah Klang yang memulakan operasinya minggu ini dan sebuah Pusat RiVAC yang akan mula beroperasi awal Ogos depan di Melaka.

Katanya, setakat ini seramai 226,353 pekerja industri peruncitan dan pengedaran di seluruh negara telah mendaftar melalui 4,033 syarikat dengan Pusat RiVAC.

“Sehingga semalam seramai 2,348 orang telah hadir ke Pusat RiVAC Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), untuk mendapatkan suntikan dos pertama, di Pusat RiVAC IOI City Mall seramai 1,206 orang dan 779 orang di Pusat RiVAC Petaling Jaya Performing Art Center (PJPAC) One Utama,” katanya.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui portal KPDNHEP di rov.kpdnhep.gov.my/rov atau berhubung terus dengan Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected]

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )