KPDNHEP peruntuk RM300,000 sokong Program Jom Shop Raya @ Jalan TAR

KPDNHEP peruntuk RM300,000 sokong Program Jom Shop Raya @ Jalan TAR

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperuntukkan RM300,000 termasuk baucar hadiah berjumlah RM200,000, untuk promosi Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 Jom Shop Raya @ Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang berlangsung selama sebulan dari 16 April hingga 15 Mei depan.

Program dengan kerjasama Persatuan Peruncit Batu Road (BARRA) itu membolehkan, pelanggan dengan pembelian RM100 ke atas mendapat baucar bernilai RM20, di lebih 70 kedai berdaftar dengan BARRA di lokasi berkenaan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosol Wahid berkata ia bagi menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja, melalui pemberian baucer yang memberikan penjimatan dalam kos belanja rakyat khususnya golongan B40, untuk membeli barangan keperluan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata selain itu, ia diharap dapat membantu para peniaga di sekitar Jalan TAR yang terkesan akibat pandemik COVID-19, sejak dua tahun lepas.

“Para peniaga di sekitar Jalan TAR mengalami fasa sukar kerana kurangnya kehadiran pelanggan, disebabkan oleh pelaksanaan sekatan rentas negeri dan sempadan pada tahun tersebut,” katanya ketika berucap melancarkan program berkenaan di sini pada Selasa.

Dalam sidang media selepas itu, Rosol menyeru pemilik kenderaan untuk membuat laporan kepada KPDNHEP, sekiranya merasakan membayar harga yang tinggi ketika menyelenggara kenderaan mereka.

“Kalau ada hal yang berlaku sebegitu, diharapkan dapat mengadu kepada kita (jadi) boleh kita siasat,” katanya.
Beliau berkata pengguna juga perlu mengambil resit sebagai bukti urusniaga berkenaan.

Akhbar Sinar Harian dalam laporannya menyebut, pengguna mendakwa mengeluarkan belanja antara RM200 hingga RM500 untuk melakukan penyelenggaraan kereta asas, seperti menukar minyak enjin dan memeriksa pendingin hawa disebabkan berlaku peningkatan harga upah, alat ganti dan minyak hitam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)