KPDNHEP siasat isu harga tiket penerbangan domestik tinggi

KPDNHEP siasat isu harga tiket penerbangan domestik tinggi

LABUAN,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat dakwaan kenaikan tambang penerbangan yang tinggi bagi penerbangan domestik semasa musim perayaan Aidilfitri.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jika dakwaan yang tular dalam pelbagai platform media sosial berhubung perkara itu didapati benar, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Isu kenaikan tambang penerbangan secara sewenang-wenangnya dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah diketengahkan dalam pelbagai platform media sosial termasuk di akhbar.

“Saya difahamkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan sesi perbincangan dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia untuk mencapai persefahaman bagi menurunkan harga tambang penerbangan,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan meminta Nanta melihat isu kenaikan harga tiket penerbangan itu yang disifatkannya sebagai ‘agak melampau’.

Pagi tadi pula Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata MOT, MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta tiga syarikat penerbangan – Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo – telah berbincang dan mencapai kata putus berhubung harga tiket penerbangan ketika musim perayaan, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)