KPDNHEP, syarikat minyak bekerjasama bantu golongan memerlukan

KPDNHEP, syarikat minyak bekerjasama bantu golongan memerlukan

PUTRAJAYA,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan syarikat minyak melaksanakan inisiatif membantu golongan yang memerlukan dan terkesan oleh pandemik COVID-19, di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata antara inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pemberian barangan keperluan secara percuma dan jualan barangan pada harga murah di stesen-stesen minyak.

Shell Malaysia Trading Sdn Bhd umpamanya mewujudkan Kotak Makanan Komuniti dan Sudut Barangan Komuniti di 50 stesen minyak Shell bagi membantu golongan yang memerlukan, katanya.

Kotak Makanan Komuniti merupakan ruang barangan keperluan kering seperti beras, tepung, gula, minyak masak, telur, susu pekat dan sardin yang boleh diambil secara percuma oleh mereka yang memerlukan, manakala Sudut Barangan Komuniti menjual barang makanan asas pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Masyarakat yang berkemampuan pula, apabila mereka datang ke stesen Shell, mereka boleh membeli beberapa barangan keperluan dan letakkan di dalam kotak itu untuk diambil oleh mereka yang memerlukan di kawasan berdekatan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau Kotak Makanan Komuniti di Stesen Minyak Shell Presint 18 di sini semalam, Hasnol Zam Zam berkata Petronas pula akan memulakan projek rintis jualan barangan keperluan segar seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran pada harga lebih rendah berbanding pasaran di empat stesen minyak syarikat itu pada awal tahun depan.

“Kita bekerjasama dengan Petronas mewujudkan sudut barangan segar dengan RM20 atau RM30 sudah cukup untuk masyarakat membeli barangan untuk dimasak, jadi ini akan mengurangkan kos.

“Kita bekerjasama dengan syarikat-syarikat minyak ini kerana kewujudan mereka di seluruh negara, di tempat-tempat yang dekat dengan kumpulan sasaran kita yang mudah terkesan dengan keadaan berkaitan pandemik, kehilangan pendapatan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd Shairan Huzani Husain berkata syarikat tersebut menyasarkan untuk mewujudkan Kotak Makanan Komuniti di 100 stesen minyaknya menjelang penghujung tahun ini.

“Kami cukup terkesan apabila ada seorang makcik datang ambil tepung, sardin dan bar coklat. Apabila ditanya kenapa ambil bar coklat, katanya anaknya tak pernah merasa (coklat) kerana dia tak mampu beli.

“Inilah antara cerita masyarakat kita dan kami harap inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu memenuhi makanan keperluan harian mereka,” kata Shairan Huzani.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )