KPJ Tawakkal KL agih 4,600 bekas bubur lambuk, santuni barisan hadapan

KPJ Tawakkal KL agih 4,600 bekas bubur lambuk, santuni barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL mengedarkan sejumlah 4,600 bekas bubur lambuk bagi menyantuni barisan hadapan COVID-19, pengamal media dan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noreen Abdul Rashid berkata meskipun negara berhadapan dengan pendemik COVID-19, pihaknya tetap menjalankan tanggungjawab korporat sosial (CSR) mengedar bubuk lambuk seperti saban tahun yang dilakukan.

Beliau berkata acara tahunan yang memasuki edisi kesembilan itu agak berbeza kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat iaitu saiz petugas membuat penghantaran adalah terhad kepada tiga orang sahaja bagi menjaga penjarakan sosial.

“Walaupun ketika ini kita sedang bertarung dengan pandemik COVID-19 yang turut mencetuskan pelbagai tekanan, atas rasa tanggungjawab, aktiviti tahunan ini perlu diteruskan supaya sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dalam sambutan bulan Ramadan yang berbeza buat kita semua,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata inisiatif ini merupakan peluang terbaik kepada pihaknya untuk mengeratkan silaturahim dengan mengambil berat dan memberi sokongan kepada rakan petugas barisan hadapan lain serta pesakit yang berkunjung ke hospital.

“Kami ingin menyeru kepada rakyat Malaysia supaya bersatu hati dalam menangani wabak ini, menjaga disiplin amalan ‘norma baharu’ yang dilandaskan oleh kerajaan iaitu penjarakan sosial, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung apabila berada di tempat awam serta mengamalkan kebersihan diri yang optimum,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )