KPK, MARGMA bincang langkah-langkah tangani isu industri sarung tangan getah – Johari

KPK, MARGMA bincang langkah-langkah tangani isu industri sarung tangan getah – Johari

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah berbincang dengan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengenai beberapa cadangan serta langkah-langkah yang perlu untuk menangani isu-isu penting agar industri boleh berdepan dengan cabaran global.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata industri sarung tangan getah Malaysia kini beroperasi dalam persekitaran eksport yang agak mencabar kerana syarikat tempatan menghadapi persaingan sengit terutamanya dari negara yang mempunyai akses kepada tenaga murah.

Terdahulu, pada Sabtu, Johari menerima kunjungan hormat daripada MARGMA bagi membincangkan permasalahan industri sarung tangan getah Malaysia.

“Turut hadir Presiden MARGMA, Oon Kim Hung serta ahli jawatankuasa persatuan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X beliau, pada Sabtu.

MARGMA yang ditubuhkan pada 28 Jun 1989, ialah persatuan industri bukan keuntungan yang ahlinya terdiri daripada pengeluar sarung tangan getah Malaysia dan pembekal berkaitan serta organisasi sokongan.

Sejak penubuhannya, persatuan itu telah menjadi suara rasmi dan penyokong kepada industri sarung tangan getah di Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)