KPKM mahu projek SMART SBB Mini Sekinchan diperluas

KPKM mahu projek SMART SBB Mini Sekinchan diperluas

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berusaha memastikan projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas dapat dilaksanakan secara berskala besar dan diperluaskan ke seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia sebagai langkah Kerajaan Perpaduan bagi memastikan bekalan beras di negara ini mencukupi khususnya untuk menghadapi kemungkinan berlaku gangguan bekalan beras import.

Walaupun negara tidak terkesan dengan keputusan India menghentikan pengeksportan beras, namun katanya Malaysia perlu sentiasa bersedia dengan menghasilkan lebih banyak beras tempatan.

“India sudah umumkan akan henti eksport beras mereka, Pakistan, Vietnam dan Thailand juga kata begitu sekiranya cuaca terus tidak menentu tahun depan…kita perlu bersedia.

“..kita bawa teknologi baru (tanaman padi) bermula di Sekinchan, Selangor kita bawa ke Perlis, Terengganu dan Pahang…bagi projek di Arau (Perlis) yang akan dituai (padi) bulan Ogos, jika mampu capai 10 tan beras per hektar, kita akan perluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-38 di ibu negara hari ini.

Mohamad berkata langkah itu dapat meningkatkan keterjaminan bekalan beras di Malaysia selain mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan membantu negara mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

Katanya malah langkah itu juga mampu membantu meningkatkan pendapatan pesawah tempatan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)