KPKT cadang tubuh perbadanan khas urus, selenggara PPR

KPKT cadang tubuh perbadanan khas urus, selenggara PPR

KUALA LUMPUR,. Kerajaan bercadang menubuhkan Perbadanan Pengurusan Perumahan Negara (3P) yang akan berfungsi sebagai agensi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawahnya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di dalam laman sesawang Parlimen pada Khamis memaklumkan penubuhan 3P merupakan salah satu pelan tindakan di bawah Dasar Perumahan Negara (2018-2025).

“Penubuhan 3P sebagai satu agensi di bawah Kerajaan Persekutuan adalah bertujuan untuk melaksana, mengurus dan menyelenggara perumahan awam dan swasta kos rendah dan kos sederhana.

“Antaranya meliputi aspek pengisian dan pengurusan perumahan awam, kutipan sewa, penyelenggaraan bangunan dan kemudahan bersama selain menyelaras aktiviti berkaitan komuniti,” menurut kementerian itu.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (PH-Libaran) mengenai sama ada kerajaan bersedia menubuhkan sebuah perbadanan yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dengan meletakkan penyelenggaraan PPR di bawahnya.

Kementerian itu turut memaklumkan penubuhan 3P akan dilaksanakan setelah Akta 3P dibentang dan mendapat persetujuan di peringkat jemaah menteri dan Parlimen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)